KUCHING: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dan Jabatan Kimia Sarawak memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan keupayaan pengesanan dan analisis Mitragynine dalam sampel urin di negeri ini.
Usaha itu dibincangkan menerusi kunjungan hormat Pengarah AADK, Abdul Hamediee Ibrahim ke Jabatan Kimia, hari ini.
Kunjungan berkenaan memberi tumpuan kepada isu dan cabaran berkaitan perkhidmatan pengesanan serta analisis Mitragynine, termasuk kaedah analisis, kapasiti makmal, prosedur pengendalian dan penghantaran sampel serta keperluan pengesahan keputusan analisis.
AADK berkata, kerjasama dengan Jabatan Kimia penting dalam memperkukuh rantaian pengendalian dan pengesahan sampel, selain meningkatkan kefahaman bersama terhadap cabaran teknikal dalam pengesanan bahan yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.
“Kerjasama ini diharap dapat membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan dari aspek teknikal, prosedur dan kapasiti perkhidmatan analisis.

“Langkah ini juga dapat menyokong usaha AADK dalam melaksanakan pendekatan pencegahan, penguatkuasaan dan intervensi secara lebih berkesan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, AADK komited untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi teknikal dan strategik di Sarawak bagi memastikan usaha menangani penyalahgunaan dadah dan bahan dapat dilaksanakan secara holistik, bersepadu serta berasaskan bukti.
Kerjasama itu juga diharap dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta keselamatan negeri Sarawak.





