
SEPANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan menggunakan kit ujian pengesanan dadah sintetik baharu termasuk fentanyl bermula Jun ini bagi membendung ancaman dadah berkenaan di dalam negara.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata kit ujian pengesanan kini telah diedarkan ke pejabat AADK seluruh negara dan akan digunakan oleh pegawai dan anggota sewaktu melaksanakan operasi di lapangan.
Beliau berkata AADK kini berdepan dengan cabaran baharu melibatkan dadah sintetik seperti Fentanyl yang lebih berbahaya berbanding dadah tradisional seperti ganja dan heroin.
“Mulai Jun ini, kita akan mula buat ujian menggunakan kit ujian (dadah sintetik) tersebut terutamanya fentanyl dan juga sintetik carnaubinol.
“Kita telah edarkan keseluruhan pejabat kita di seluruh Malaysia dan mulai Jun, kita akan buat operasi dan kita akan uji (individu) menggunakan alat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penghayatan nilai-nilai murni bersempena dengan Aidiladha dan ibadah korban AADK di sini hari ini.
Ruslin berkata kit ujian pengesanan itu mampu mengesan dadah fentanyl, cannabinoids sintetik, dan kokain yang digunakan sebagai cecair untuk rokok elektronik atau vape.
Mengulas tangkapan AADK, Ruslin berkata individu yang ditahan susulan penyalahgunaan dadah kini mencecah 15,000 bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.
“Kita menyasarkan kita boleh capai 40,000 (tangkapan) pada tahun ini. Ia (antaranya) berdasarkan kepada aduan daripada pihak awam yang keduanya dan risikan,” katanya, menambah penubuhan unit dron AADK juga membantu tindakan operasi.
Sebelum ini, beliau berkata kadar penagihan dadah jenis sintetik di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila menyumbang kepada 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih di seluruh negara.
Menurutnya, perkembangan itu selari dengan ancaman trend terbaharu yang mana sindiket kini dikesan mencampurkan bahan terlarang itu ke dalam cecair rokok elektronik atau vape. – Bernama