Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • A. Samad Said pejuang bahasa, martabat sastera negara
  • INSPIRASI

A. Samad Said pejuang bahasa, martabat sastera negara

Utusan Sarawak 21 hours ago
SASTERAWAN Negara Datuk Seri Dr Abdul Samad Mohamed Said atau A. Samad Said.

KUALA LUMPUR: Lama sudah tidak terdengar kisah Sasterawan Negara Datuk Seri Dr Abdul Samad Mohamed Said atau A. Samad Said.

Kali terakhir susuk ini, yang mesra dengan panggilan Pak Samad, dilihat ialah ketika malam Anugerah Merdeka 2024 pada 28 Ogos tahun lepas.

Pada majlis yang berlangsung di ibu negara itu, Pak Samad antara tujuh individu yang dipilih sebagai penerima anugerah bagi kategori pendidikan dan komuniti, atas sumbangan luar biasa beliau dalam bidang tersebut.

Merisik khabar melalui anaknya Az Abdul Samad, atau lebih dikenali sebagai Az Samad, 44, penulis berpeluang mendengar kisah dan perkembangan terkini tokoh yang disifatkan sebagai antara paling berpengaruh dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden.

CINTA PADA BUKU, PENULISAN

Menginjak usia 90 tahun pada April lepas, A. Samad Said, kata anaknya, masih setia meneruskan kecintaannya pada buku dan dunia penulisan.

Az yang merupakan seorang pemuzik dan penulis, menjadi orang tengah membantu penulis dalam temu bual dengan tokoh yang disegani ini.

A. Samad Said bukan sekadar dikenali sebagai penyair dan novelis, malah ibarat suara nurani rakyat, penggerak budaya dan lambang keteguhan bahasa Melayu.

Turut popular dengan nama pena Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir, bapa kepada lima orang cahaya mata dan kini mempunyai 11 orang cucu serta dua cicit, dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.

Beliau bagaimanapun dibesarkan di Singapura sejak usia enam bulan dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja sebelum meneruskan pelajaran di Victoria Institution. 

Cerpen terawal yang ditulis oleh A. Samad Said antaranya ialah ‘Hari Ini Hari Gembira’ yang diterbitkan pada Oktober 1954.

Beliau belajar sendiri sehingga lulus Sijil Senior Cambridge (sekarang setara Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) pada 1956 dan selepas menamatkan pelajaran, beliau memulakan kerjaya sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.

A. Samad Said kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai wartawan dengan akhbar Fikiran Rakyat dan selepas beberapa bulan beliau kembali ke Singapura dan bekerja di akhbar Utusan Zaman (Utusan Zaman dan Utusan Melayu di bawah Kumpulan Utusan) di bawah pimpinan Usman Awang. 

Apabila Syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, A. Samad Said turut berhijrah. Beliau membantu Usman Awang mengendalikan majalah Mastika sebelum berkhidmat sebagai Ketua Pembangunan Sastera di New Straits Times.

Beliau bagaimanapun melepaskan jawatan Pengarang Berita di Berita Harian pada 1987 untuk menumpukan sepenuh perhatian pada penulisan, khususnya dalam bidang esei dan puisi.

TIDAK SANGKA “MENJADI”

Disoal perasaannya apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Merdeka 2024, Sasterawan Negara itu berkata: “Saya tak sangka sebenarnya dan tak terfikir, tapi tentulah saya senang hati,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Berkongsi pengalaman kerjayanya selama lebih tujuh dekad dalam dunia penulisan yang sarat dengan turun naik, beliau berkata: “Saya senang menjadi penulis walaupun memang tak boleh bergantung dari segi kehidupan, (pendapatan) bulanan tu kita sukar nak tentukan.

“Kadang-kadang dia ‘jatuh besar’ (pendapatan banyak) kadang-kadang tak ada apa-apapun… tapi, oleh sebab bidang itu bidang yang saya pilih sendiri dari awal, jadi saya senang hati,” katanya.

Menyentuh pencapaiannya, beliau tidak pernah menyangka akan “semekar” itu dan berjaya berada di tahap membanggakan.

“Saya tidak sangka sebenarnya (karya) ‘menjadi’ (berhasil), tapi selepas saya dapat pujian, selepas saya dapat hadiah material, saya rasa ini seakan satu anugerah yang tak disangkakan, dan saya amat besar hati serta berterima kasih. 

“Setiap kali saya menulis dan ‘menjadi’, dan mendapat sambutan yang baik, saya berasa itu bukan saja keuntungan bagi saya (tapi juga) keuntungan bagi masyarakat, dan saya fikir dia (karya itu) menjadi khazanah untuk negara, “ katanya. 

Menyifatkan pengalaman terindah sepanjang kariernya ialah menulis sebuah karya sastera Islam, iaitu puisi Al-Amin yang memaparkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW, beliau berkata: 

“Saya tak sangka saya dapat habiskan satu antologi puisi Islamik yang panjang Al-Amin… yang lain-lain (karya yang lain) saya bangga juga tapi tak seperti Al-Amin sebab (untuk menghasilkannya) paling mencabar, lebih mendalam, memerlukan seluruh keikhlasan saya, seluruh pengetahuan saya, seluruh keupayaan saya untuk menulisnya,” ujarnya.

SALINA KARYA AGUNG

Nama A. Samad Said berada di kemuncak apabila novel Salina diterbitkan secara rasmi pada 1961. Karya itu mengisahkan konflik dan perjuangan hidup seorang wanita bernama Salina di tengah-tengah masyarakat pasca-Perang Dunia Kedua.

Salina, seorang wanita simpanan, berusaha mencari kembali harga diri dan tempat dalam masyarakat setelah kehilangan cinta sejatinya dan menjalani hidup yang penuh pengorbanan.

Melalui watak Salina, novel ini menyoroti isu kemiskinan, moral, cinta dan penebusan dosa serta memperlihatkan pertentangan antara nilai tradisional dan perubahan zaman.

Mengangkat latar belakang yang realistik dan gaya penceritaan yang puitis, Salina bukan sahaja karya sastera penting dalam khazanah sastera Melayu moden kerana keberanian naratif dan kehalusan estetikanya, bahkan menjadi bacaan wajib bagi setiap pencinta sastera.

 Walaupun hanya menerima hadiah sagu hati dalam pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1958, Salina kemudian diraikan sebagai novel Melayu pertama dan diterbitkan semula berkali-kali, termasuk edisi khas ulang tahun ke-60 pada 2021.

Novel lain seperti Hujan Pagi menghuraikan kekusutan jiwa seorang wartawan generasi sebelum perang yang tidak lagi memahami dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan arah dan perkembangan suasana akhbar masa kini. 

Selain itu, novel Daerah Zeni, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau dan Keledang – kesemua karya ini merakamkan pengalaman dan keresahan masyarakat dalam pelbagai dimensi.

A. Samad Said turut memanfaatkan setiap lawatan dan pengembaraannya ke sesebuah tempat dengan menjadikannya sumber ilham dalam penulisan. 

Buktinya, hasil lawatan beliau ke India pada 1965 melahirkan Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, manakala kunjungannya ke Eropah pada 1989 menghasilkan Cinta Fansuri dan Warkah Eropah. Setiap karya ini tidak sekadar menggambarkan kecintaan beliau terhadap budaya luar, tetapi keupayaannya mengangkat pengalaman peribadi menjadi naratif sejagat.

Selain itu, buku (kumpulan esei) Tangan yang Simpatik, Antara Bulan dan Wira dan Ilham di Tepi Tasik menampilkan pemikiran beliau yang kritis terhadap pembangunan sastera dan dunia penulisan global.

Karyanya yang paling berbekas dalam kalangan generasi muda termasuk puisi Gagak Parit yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai The Dead Crow oleh Harry Aveling.

Puisi ini dimuatkan dalam kurikulum mata pelajaran Bahasa Inggeris sekolah menengah di Malaysia dari 2000 hingga 2009, dan telah menjadi subjek pameran seni visual di Kuala Lumpur pada 2017, membuktikan impak yang merentas generasi.

Bagi memperkukuh genre surat-menyurat dalam sastera Melayu, A. Samad Said turut menulis Warkah Kepada Salmi Manja (isterinya).

Beliau turut menyerlah dalam genre drama melalui Lantai T Pinkie yang dipentaskan sebanyak 17 kali hingga 2023.

 Koleksi puisinya seperti 68 Soneta Pohon Ginkgo, Balada Hilang Peta dan karya-karya beliau yang diterjemahkan telah memperluas capaian ke peringkat antarabangsa termasuk Korea.

Beliau menyertai pelbagai program sastera, memberi inspirasi kepada generasi muda, dan pada 2019, dilantik sebagai Sasterawan Residen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang turut menempatkan Galeri Pak Samad – arkib hidup bagi karya-karyanya.

Menerima pelbagai anugerah sepanjang kerjayanya, antara yang terbesar ialah Pejuang Sastera (1976), Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) (1979), Sasterawan Negara (1985), Sasterawan Nusantara (1999) dan yang terkini Anugerah Merdeka 2024.

Anugerah Merdeka meraikan pencapaian serta sumbangan cemerlang individu dan pertubuhan dalam bidang masing-masing kepada Malaysia, serta memberi inspirasi kepada orang ramai. Pemegang Amanah Anugerah Merdeka yang ditubuhkan pada 27 Ogos 2007 diasaskan oleh Petronas dan Shell.

GAGAP, KERJAYA TIADA SEMPADAN

Berkongsi cabaran terbesar yang dilalui sepanjang kehidupannya, A. Samad Said berkata beliau tidak begitu mengingati, namun yang pasti beliau akan berasa risau jika ilhamnya mengambil masa terlalu lama untuk direalisasikan.

“Akan tetapi, sebaik sahaja saya mengatasinya, saya berasa senang. 

“Cabaran terbesar saya gagap sebenarnya. Dari awal (ada) keinginan menjadi great orator, jadi saya pergi ke tepi laut, saya tunggu ombak besar datang, (apabila ombak) pukul pantai ataupun batu saya akan menjerit, sebolehnya lebih nyaring daripada dia (ombak).

“Role model saya sebenarnya orang gagap, saya lupa namanya… tapi, saya ingin mengatasi dia, oleh sebab dia gagap mulanya tapi akhirnya dia dapat mengatasi gagap dia,” ceritanya lagi.

Pada 1958, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Saleha Abdul Rashid, atau dikenali sebagai Salmi Manja, yang juga seorang penyair, novelis, bekas wartawan serta antara pengarang wanita yang banyak mencetuskan kesedaran menuntut keadilan sosial dan kebebasan hak wanita. Kemudian, pada 1979,  beliau menikahi Rashidah Md Dahan sebagai isteri kedua. Salmi Manja meninggal dunia pada 26 Dis 2023 di usia 86 tahun.   

Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara kerjaya dan kehidupan peribadi, jawab A. Samad Said: “Saya tak dapat nak membezakan sebenarnya sebab bagi saya setiap detik yang berlalu itu amat berguna bagi saya, dan kegemaran saya hanya membaca. Jadi di kiri kanan bila ada buku senang hati saya.

“Masa lapang, saya suka berkhayal dan mengenang zaman yang sudah,” katanya. 

Tentang falsafah hidup, beliau berkata: “Saya sentiasa mengingatkan semua orang (bahawa) berpeluang datang ke dunia ini adalah satu anugerah. Tidak semua orang boleh datang ke bumi ini, tapi saya dapat datang, jadi saya sangat hargai.

“Masing masing mempunyai terjemahannya sendiri, bagaimana kehidupan itu wajib dimanfaatkan dan oleh kerana saya seorang penulis, jadi saya ingin menulis sebaiknya, dan oleh kerana kehidupan saya agak susah jadi pegangan agama saya itu menjadi amat bererti. Setiap kali saya risau, saya akan membaca kisah-kisah yang disampaikan dalam al-Quran,” katanya.

Berharap ilmu dan pengalaman yang dilaluinya dapat menjadi pengajaran berguna kepada golongan muda hari ini, beliau berkata setidak-tidaknya beliau mahu “memulangkan” apa yang dimiliki agar berguna untuk orang lain.

“Bermula dengan kehidupan yang meletihkan saya, perang Jepun misalan, dengan gagap saya, dengan usaha saya mengatasi gagap itu adalah satu pencapaian yang luar biasa bagi saya.

“Saya harap kehadiran saya di dunia ini memberi sumbangan kepada bangsa saya dan negara saya. (Bila) segala itu berlaku, benar-benar berlaku (berbakti), saya sudah senang hati,” katanya.

JANGAN AMBIL HAK ORANG LAIN

Turut aktif sebagai aktivis sosial dan politik, A. Samad Said antaranya terlibat dalam Gerakan Mansuh PPSMI (2009) yang menentang pengajaran serta pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris serta menyertai perarakan Bersih 2.0 dan 3.0 yang menuntut reformasi pilihan raya di Malaysia.

Keikhlasan, ketekunan dan perjuangan beliau menulis di samping pengalaman hidupnya yang penuh warna-warni telah membentuk pemikiran dan keperibadiannya sebagai seorang penulis dan tokoh sastera yang amat disegani.

Sekarang, tokoh ini lebih selesa menghabiskan masa membaca karya klasik, bacaan yang tidak sempat disempurnakan sebelum ini atas faktor kekangan masa.

“Sekarang ini saya lebih banyak menghabiskan membaca buku-buku klasik yang tidak sempat saya habiskan. Misalannya saya suka baca karya oleh Fyodor Dostoevsky, Leo Tolstoy, Ernest Hemingway tidak semua habis dulunya, tapi sekarang saya go slow dengan hasrat untuk menikmati dan ‘menangguk’ hasilnya,” kata beliau.

Pesanan beliau kepada penulis dan untuk disampaikan kepada semua, “Berbuat baiklah … buat baik, beri sumbangan kepada bangsa dan negara.

“Orang muda kena tanya ‘Apa yang kita rasa kita ingin jadi?’ Kemudian kita kejar (impian) itu. Berbaktilah, jangan mencuri (ambil hak orang lain),” katanya.

–Bernama

Continue Reading

Previous: Zin kendali 1,500 lembu, kambing sejak 45 tahun jadi tukang sembelih

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.