Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Pengukuhan kuasa Brooke di Rajang
  • KOLUM

Pengukuhan kuasa Brooke di Rajang

Utusan Sarawak 2 days ago

SETELAH berjaya menumpaskan sekatan dagangan di Mukah pada tahun 1861, pengaruh Brooke di Sungai Rajang semakin kukuh.

Tekanan berterusan kerajaan Brooke akhirnya memaksa Sultan Brunei menyerahkan Mukah bersama wilayah-wilayah lain hingga ke Tanjung Kidurong.

Dengan kata lain penguasaan Brooke di wilayah baharu ini membawa kepada penguasannya ke atas Lembah Sungai Rajang yang mempunyai kaum-kaum berbeza dengan wilayah asal yang dimilikinya.

Selain orang Melayu dan Iban, wilayah baharu ini mempunyai kaum-kaum lain seperti Melanau, Kayan, Kenyah dan beberapa kaum yang lain. 

Walaupun kerajaan Brooke amat suka cita dan gembira dengan kejayaannya ini tetapi kerajaan Brooke berhadapan pula dengan masalah pertelingkahan kaum di kawasan pedalamannya.

Tambahan juga wilayah baharu yang dimilikinya itu bersaiz besar, dan satu-satu jalan pengangkutan yang ada hanyalah menggunakan sungai.

Keadaan alam

Bahagian persisir wilayah ini tidak menimbulkan masalah kepada kerajaan Brooke setelah beberapa pemimpin yang menentang mereka disingkirkan.

Sementara itu bahagian pedalaman terutama kawasan hulu sungai, pemimpin tempatan di kawasan tersebut tidak akur dengan kehadiran pemerintahan Brooke.

Perbuatan menyerang antara kaum, budaya memengal kepala dan menculik penduduk lawan untuk diseksa berlaku secara berleluasa di kawasan tersebut.

Hal ini menyukarkan usaha mendamaikan penduduk di kawasan tersebut oleh kerajaan Brooke.

Tambahan lagi beberapa pemimpin pedalaman yang menyokong usaha-usaha yang berlawanan dengan kerajaan Brooke.

Pertelingkahan

Salah satu cabaran besar bagi kerajaan Brooke untuk berdepan dengan pemimpin yang engkar dengan dasarnya adalah kesukaran untuk pergi ke kawasan hulu sungai. 

Sungai-sungai yang menghubungi kawasan ini mempunyai jeram yang berbahaya kepada perahu untuk melaluinya.

Sebuah kawasan disebut Makun di hulu Sungai Rajang merupakan kawasan jeram yang dikatakan menghalang usaha kerajaan Brooke untuk menghukum pihak yang melawan beliau.

Namun demikian kerajaan Brooke tetap melakukan usaha untuk mendamaikan dan mententeramkan pertelingkahan yang berlaku di hulu Rajang.

Antara pemimpin tempatan dikenal pasti yang membawa masalah kepada kerajaan Brooke ini ialah Akam Nipa. 

Akam Nipa pernah diberi amaran supaya menyerahkan semula pembunuh Charles Fox dan Henry Steele.

Beliau juga dianggap sebagai individu yang telah menyebabkan banyak kerosakan dan kekacauan di lembah Sungai Rajang. J. B. Cruickshank, yang ketika itu merupakan Residen di kawasan tersebut, pernah merayu agar kerajaan Brooke mengambil tindakan tegas bagi mengekang kegiatan Akam Nipa.

Beliau juga dituduh pernah menyerang penduduk Iban di Katibas yang setia kepada kerajaan Brooke. Serangan di Kabitas telah menyebabkan 17 orang terkorban.

Beberapa orang pula ditawan dan telah diseksa.

Rumah Panjang juga telah dibakar.

Tambahan daripada hal ini terdapat satu lagi berita tersebar tentang 18 penduduk Katibas telah dibawa oleh Paring untuk berdamai dengan penduduk Kayan.

Namun demikian 11 daripada mereka telah ditahan, dan diikat tangan dan kaki.

Selebihnya sempat melarikan diri. Boyong salah seorang yang ditangkap telah diasingkan untuk tujuan upacara korban anak Oyong Hang yang telah meninggal dunia.

Oyong Hang merupakan sekutu kepada Akam Nipa.

Sementara itu Boyong dan beberapa lagi yang lain sempat melarikan diri dan berjaya diselamatkan.

Ekpedisi Ketenteraan

Pertelingkahan ini menyebabkan Charles Brooke ketika itu masih Tuan Muda untuk mengerakkan ekspedisi ketenteraan.  Beliau telah mengumpul tentera sukarela daripada pendudukdi Skrang, Banting dan Kalaka. 

Walaupun pelbagai presepsi negatif kerajaan ke atas pasukan tentera ini tetapi pasukan sukarela ini tetap memberi sokongan kepada ekspedisi ini.

Persediaan untuk melakukan ekspedisi ini bermula pada 19 Mei 1863 dari Sungai Batang Lupar.  Selain penduduk tempatan, beberapa pegawai Barat juga menyertai ekspedisi ini seperti Cruickshank, W. C. Watson, Stuart Johnson dan Sarjan Lees.

Seperti dikatakan tadi, keadaan bentuk muka bumi yang mencabar di Lembah Sungai Rajang ini membuatkan ekspedisi ketenteraan ini memakan masa yang agak panjang untuk dijalankan. 

Hanya pada 24 Mei 1863 baru mereka mampu mempunyai 60 perahu-perahu untuk mengadakan eskpedisi ini memasuki kuala Sungai Rajang. 

Pada 29 Mei 1863, jumlah perahu yang menyertai ekspedisi ini telah meningkat kepada 80 buah. Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 1 Jun 1863, Charles Brooke telah mengingatkan ketua-ketua tempatan yang turut serta dalam ekspedisi tersebut untuk melindungi golongan wanita dan kanak-kanak.

Pasukan ekspedisi ini akhirnya sampai di kawasan Akam Nipa pada 4 Jun 1863.

Namun demikian rumah Akam Nipa telah ditinggalkan. Pada 7 Jun 1863, maklumat diperoleh menyatakan bahawa mereka yang melarikan diri berlindung di Kampung kaum Kajaman di atas kawasan Belaga. 

Kawasan tersebut telah diserang dan dibakar. 

Tamat

Seterusnya pasukan Charles Brooke menuju ke kawasan jeram Makun yang mencabar pergerakan mereka dengan air berpusar, deras dan bergelora.

Mereka terpaksa berdepan pula dengan batu-batu tajam yang mengancam perahu-perahu mereka. Akhirnya mereka sampai ke kawasan pihak musuh dan berlaku pertempuran.

Kesudahannya membawa tertangkapnya tiga orang dari pihak musuh.

Seorang daripadanya dibebaskan untuk menghantar pesanan kepada Oyong Hang. 

Charles Brooke berasa puas dengan ekspedisi ini dan mengumpul beberapa orang ketua-ketua tempatan, tahanan perang dan seorang wanita pertengahan umur.

Beliau telah memaklumkan kepada wanita tersebut bahawa ekspedisi mereka ini adalah kerana berlaku serangan ke atas warga Sarawak. 

Oleh itu beliau memberi pilihan kepada Oyong Hang dengan menyerahkan pilihan iaitu sebutir peluru meriam 12 paun dan sehelai bendera Sarawak.

Jika beliau memilih peluru meriam, maka ia adalah perang.

Sebaliknya bendera Sarawak pula bermaksud perdamaian antara mereka.

Ekspedisi ini akhirnya ditamatkan, dan mereka kembali ke Kanowit pada 17 Jun 1863, manakala Charles Brooke kembali ke Skrang.

Tidak sampai sebulan wakil Oyong Hang telah datang dan meminta untuk berdamai. 

Pada Oktober 1863, satu upacara perdamaian telah diadakan antara kaum Kayan dan Iban di Kanowit. Upacara ini melibatkan pengorbanan seekor khinzir sebagai sebahagian daripada adat perdamaian.

Tindakan ekspedisi yang dijalankan ini menunjukkan hasrat kerajaan Brooke untuk menguatkuasakan pemerintahannya demi mewujudkan ketenteraman dan kedamaian.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Sabah mesti kuat seperti Sarawak, untuk tuntut hak MA63
Next: Kesilapan paparan Jalur Gemilang perlu ketegasan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.