KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak menyerbu dua lokasi dipercayai menjalankan aktiviti sebagai pusat panggilan sindiket perjudian dalam talian pada Rabu.
Ketuanya SAC Dennis Leong berkata serbuan dilakukan pada jam 9 pagi itu adalah hasil risikan dan intipan dan berjaya menahan 10 individu termasuk sembilan warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 20 hingga 36 tahun.
“Serbuan pertama adalah di Stampin Baru iaitu sebuah rumah jenis teres dua tingkat dan berjaya menahan tiga invididu warga asing berusia antara 21 hingga 26 tahun dan merampas tiga unit computer beserta tujuh telefon pintar.
“Manakala serbuan kedua dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Sherip Masahor yang mana berjaya menahan enam orang asing termasuk, dan seorang lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 36 tahun.
“Serbuan ini turut berjaya merampas empat unit komputer beserta empat unit telefon pintar,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tambahnya, sindiket ini percayai telah menjalankan aktiviti tersebut selama enam bulan dan mengaut keuntungan mencecah RM8,000 hingga RM10,000 sehari.
“Kesemua tangkapan akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Oleh Zarina Abdullah