
LUNDU: Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak pada tahun ini akan dianjurkan secara menyeluruh di institusi pendidikan seluruh negara, melibatkan penyertaan sekolah di kawasan bandar dan luar bandar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata program berkenaan bertujuan memberi pendedahan bukan sahaja kepada pelajar malah komuniti setempat berkaitan isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
“Ia juga untuk golongan dewasa memahami bentuk penderaan yang bukan sahaja melibatkan fizikal malah mental kanak-kanak juga dapat mempelajari elemen penderaan di rumah iaitu keganasan rumah tangga seterusnya melaporkan menerusi saluran yang disediakan.
“Pelajar sekolah turut diberi pendedahan tentang apa hak mereka sebagai manusia, misalnya mereka berhak untuk tidak dicederakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Sarawak Tahun 2025 di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meneruskan program advokasi itu di 300 sekolah dan 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di seluruh negara tahun ini.
Sementara itu, Nancy menyeru masyarakat supaya menghafal Talian Kasih, yang boleh diakses secara 24 jam melalui dua saluran iaitu talian bebas tol 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-2615999 untuk mengadu dengan segera sekiranya berdepan kes penderaan.
“Menjadi tanggungjawab masyarakat misalnya kes penderaan melibatkan orang terdekat, untuk kita terus hubungi Talian Kasih bagi tindakan selanjutnya oleh kaunselor,” katanya.
-Bernama