
BINTULU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas lori muatan baja yang dinaiki mereka terbabas di KM16 Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Bintulu Miri, pagi tadi.
Mangsa yang maut merupakan dua kelindan lori dan salah seorang daripadanya dikenal pasti sebagai Christon Naim, 31, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti identitinya.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah lori muatan baja terbabas ke tepi jalan dalam satu kemalangan kendiri melibatkan tiga mangsa.
“Seorang mangsa yang juga pemandu lori berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Bintulu oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam keadaan cedera.
“Dua lagi mangsa tersepit di bahagian hadapan kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM,” katanya.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Oleh Carolyne Utih