
Ruben Amorim (kiri) akan berentap dengan rakan sejawatnya Ange Postecoglou apabila Manchester United berdepan Tottenham pada final Liga Europa di Bilbao, Sepanyol awal pagi Khamis ini.
BILBAO, Sepanyol: Manchester United dan Tottenham akan berentap pada final Liga Europa awal pagi Khamis ini di Bilbao, dengan kedua-dua pasukan terdesak untuk menyelamatkan musim mereka susulan persembahan buruk dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kejayaan menjulang trofi dan peluang keemasan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Potensi meraih £100 juta (RM573 juta) kerana layak ke pertandingan utama kelab Eropah itu menjadi pertaruhan di Stadium San Mames antara dua pasukan yang terdampar berhampiran tangga tercorot liga utama Inggeris itu.
Red Devils kendalian Ruben Amorim di tangga ke-16 dengan 18 kekalahan dalam liga dan mengharungi musim terburuk dalam kempen liga utama dalam tempoh setengah abad, sejak turun divisyen pada 1974.
Satu anak tangga di bawah mereka Spurs kendalian Ange Postecoglou, mengatasi rekod kelab 21 kali kalah dalam liga dan turut berdepan musim terburuk mereka sejak kembali ke divisyen utama pada 1978.
Dengan kedua-dua pasukan menumpukan terhadap final Eropah, kemerosotan mereka dalam carta meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan.
United tidak menang dalam lapan aksi liga, catatan terburuk dalam sejarah EPL, tumpas di Chelsea Jumaat lalu pada perlawanan terakhir mereka menjelang final.
Tottenham juga kecundang di Aston Villa bagi kekalahan kelima dalam enam perlawanan liga.
Spurs muncul juara dua kali dalam pertandingan itu, tetapi kejayaan terakhir mereka pada 1984 adalah trofi terakhir kelab itu di Eropah dan mereka tidak menang sebarang trofi selama 17 tahun.
Mereka layak ke final Liga Juara-Juara buat julung kali pada 2019 tetapi gagal dalam satu lagi pertembungan sesama kelab Inggeris di Sepanyol, tunduk di tangan Liverpool selepas satu aksi hambar.
“Apabila anda lihat latar belakang sejarah kelab ini bagi 20 tahun terakhir atau lebih, saya berasakan (final ini) mungkin menjadi titik peralihan,” kata Postecoglou minggu lalu.
Sekalipun United semakin merosot sejak pengurus legenda Alex Ferguson bersara pada 2013, mereka menang Piala FA dan Piala Liga dalam dua musim terakhir di bawah kendalian Erik ten Hag.
Warga Portugal itu mengharungi masa sukar sejak mengambil alih November lalu, menang hanya enam daripada 26 aksi EPL kendaliannya.
Namun Liga Europa satu cerita berbeza apabila United membenam cabaran Real Sociedad dan Athletic Bilbao, dan mereka turut melakar kebangkitan mengagumkan daripada ketinggalan 6-5 untuk mengalahkan Lyon 7-6 secara agregat pada suku akhir yang mencetus memori kejayaan dramatik kelab itu pada final Liga Juara-Juara 1999.
Amorim bagaimanapun menyedari tugas besar menantinya untuk mengubah nasib juara Inggeris 20 kali itu.
“Saya tidak bimbang mengenai final, ia mungkin masalah paling kecil di kelab kami,” kata bekas bos Sporting Lisbon itu.
“Kami perlu mengubah sesuatu yang lebih besar berbanding ini.” – AFP