Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak terus perkukuh pembangunan berteraskan nilai Islam
  • TEMPATAN

Sarawak terus perkukuh pembangunan berteraskan nilai Islam

Utusan Sarawak 18 hours ago
DATUK Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyampaian hadiah kepada salah seorang para pemenang Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuching 1446H/2025M, malam tadi.

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan negeri yang berteraskan nilai-nilai Islam selari dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata kerajaan negeri melihat pembangunan bukan sekadar dari sudut material semata-mata, tetapi perlu berlandaskan roh keilmuan serta nilai-nilai al-Quran.

“PCDS 2030 merupakan strategi penting ke arah menyediakan Sarawak yang lebih maju dan sejahtera untuk generasi masa hadapan.

“Oleh itu, kita mesti sentiasa berinovasi, kreatif dan memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi, daya saing serta jati diri, demi membangunkan negeri mengikut acuan sendiri.

“Manusia tidak akan dapat memanfaatkan dunia dengan baik sekiranya sikap dan pandangan terhadap kehidupan tidak tepat, kerana alam ini diciptakan dan ditundukkan oleh Allah S.W.T untuk manusia sebagai khalifah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuching 1446H/2025M yang berlangsung di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, malam tadi.

Tambah beliau, pembangunan negeri yang mapan memerlukan keseimbangan antara aspek rohani dan jasmani yang digerakkan dalam kerangka Islam.

“Usaha berterusan dan strategik perlu dilaksanakan bagi memperkasa kedua-dua aspek ini dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

“Kita perlu melahirkan lebih ramai golongan ulul-albab, iaitu cendekiawan atau intelektual yang kukuh ilmunya dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, yang mampu mengimbangi tuntutan duniawi dan ukhrawi.

“Sesungguhnya, insan yang berjaya ialah mereka yang sentiasa memperbaiki diri setiap hari, manakala mereka yang gagal adalah yang tidak berubah daripada semalam,” ujarnya.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuching 1446H/2025M yang berlangsung selama dua hari bermula 17 Mei lalu menyaksikan penyertaan seramai 28 peserta terdiri daripada 19 qari dan 9 qariah.

Bagi kategori Qari, Hadi Sharkawi dinobatkan sebagai johan, diikuti Nordin Putit di tempat kedua dan Muhammad Syahmi Mohamad Shukor di tempat ketiga.

Sementara itu, bagi kategori Qariah, Nursyafiqah Sulaiman muncul sebagai johan, diikuti Nurafiqah Mohamad Musa di tempat kedua dan Nur Fatin Nabihah Poniran di tempat ketiga.

Oleh Masrin Affirah

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Majlis Apresiasi Serian 2025, raikan komitmen penjawat awam
Next: Cr Eric Tay praises Sarawak government for developing digital infrastructure

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.