
SIMUNJAN: Penduduk Kampung Pantong Iban kini menikmati kemudahan jalan perhubungan desa baharu sepanjang 500 meter yang siap sepenuhnya pada Ogos 2024.
Projek ini merupakan salah satu inisiatif di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bertujuan meningkatkan akses dan keselesaan penduduk luar bandar.
Perasmian jalan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris pada majlis perasmian Jalan Perhubungan Desa dan Pra-Gawai Dayak 2025 anjuran JKKK Kampung Pantong Iban, hari ini.
Menurut Rodiyah, pembinaan jalan itu merupakan hasil permohonan bersama beliau dan Awla kepada KKDW yang melihat keperluan mendesak bagi laluan alternatif dan lebih selamat untuk penduduk kampung.
“Projek jalan ini amat bermakna kepada penduduk dan menjadi simbol kesungguhan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memperkasakan kemudahan infrastruktur luar bandar,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa keutamaan pembangunan luar bandar bukan sahaja terhad kepada jalan raya, tetapi turut melibatkan pembinaan dan penaiktarafan jambatan, titi, balai raya dan kemudahan asas lain mengikut keperluan setempat.
“Pihak kami sentiasa menyokong dan meneliti setiap permohonan daripada kampung-kampung.
“Setiap kampung mempunyai keperluan yang berbeza. Ada yang perlu jalan, ada yang perlukan dewan baharu, ada juga yang memerlukan titi untuk kemudahan harian. Keutamaan ini ditentukan berdasarkan perbincangan bersama kepimpinan tempatan serta penduduk sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan untuk bekerjasama rapat dengan ADUN Simunjan dalam menyelaras projek pembangunan kampung di kawasan tersebut.
Sempena sambutan Pra Gawai Dayak, beliau turut menyampaikan harapan agar perayaan tahun ini membawa semangat baharu serta perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat.
“Saya berharap Gawai Dayak kali ini disambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan, sebagai simbol kekuatan serta harapan baharu untuk semua,” katanya lagi.
Sementara itu, ADUN Simunjan, Awla Dris menyeru penduduk kampung agar tidak berasa takut untuk memohon sebarang projek pembangunan yang boleh memberikan manfaat kepada komuniti setempat.
Menurut Awla, banyak saluran peruntukan yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan kampung, antaranya melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) selain menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Saya ingin menasihatkan penduduk kampung, jangan malu atau takut untuk memohon.
“Kita ada pelbagai sumber peruntukan seperti KKDW dan SDO yang boleh digunakan untuk membina jalan, menaiktaraf kemudahan asas dan sebagainya demi kesejahteraan penduduk luar bandar,” jelas beliau.
Tambah beliau, antara projek yang sangat digalakkan untuk dimohon termasuklah pembinaan jalan perhubungan desa dan jalan ladang yang amat penting bagi penduduk luar bandar, terutamanya petani dan pekebun.
“Jalan-jalan seperti ini penting bagi memudahkan para petani membawa keluar hasil tanaman mereka ke pusat pengumpulan atau ke pasaran. Jika kemudahan ini ada, maka pendapatan penduduk luar bandar juga boleh meningkat,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen berterusan untuk bekerjasama dengan pemimpin lain di kawasan Simunjan termasuk Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee bagi memastikan setiap kampung mendapat akses yang sewajarnya kepada pembangunan infrastruktur asas.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional dan upacara simbolik ngetas ranyai yang disempurnakan oleh Rodiyah, Awla dan ketua-ketua kaum yang hadir.
Turut hadir Penghulu Jubin Sili, Pengerusi JKKK Kampung Pantong Iban, Tuai Rumah Gabriel Elisha Tinos, Ketua Zon 3 Sungai Apin, Kr. Mohamad Alsagaf Mohd. Jaafar serta ketua-ketua kaum kawasan Zon 3 Sungai Apin.
-UKAS