
BINTULU: Pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek seperti dijanjikan akan berdepan tindakan tegas termasuk disenarai hitam, dikenakan denda dan didakwa di bawah Ordinan Pembangunan Perumahan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Datuk Michael Tiang Ming Tee mengeluarkan amaran keras susulan lawatannya ke dua tapak projek perumahan yang mengalami kelewatan di Bintulu, Projek Tiara Seni dan Golden Hill Villa.
“Kita tidak boleh biarkan pembeli terus menjadi mangsa. Jika pemaju enggan melaksanakan tanggungjawab mereka, kita akan ambil tindakan tegas.
“Ini termasuk menyenarai hitam syarikat, lucut deposit dan tindakan mahkamah,” kata beliau tegas.
Menurut Michael, Projek Golden Hill Villa yang dibangunkan oleh Homas Development kini lumpuh akibat pertikaian tanah dan pencerobohan berpanjangan, memaksa campur tangan undang-undang.
Sebahagian pembeli telah berpindah masuk tanpa bekalan air bersih dan elektrik, menimbulkan kebimbangan keselamatan dan kesihatan.
Sebagai langkah interim, MPHLG akan mengeluarkan surat sokongan kepada LAKU untuk membolehkan air sementara disalurkan walaupun projek belum mendapat Sijil Layak Didiami (OP).
Sementara itu, perbincangan bersama SEB masih berjalan untuk urusan bekalan elektrik yang memerlukan prosedur lebih ketat.
Beliau turut mengumumkan bahawa projek Golden Hill Villa akan diisytiharkan sebagai projek terbengkalai, bagi membolehkan pembeli menstruktur semula pinjaman perumahan mereka dengan pihak bank.
Bagi Projek Tiara Seni, situasinya dianggap lebih baik dengan pembinaan fasa pertama kini dalam proses permohonan OP dan dijangka selesai dalam dua hingga tiga bulan.
Kelewatan berpunca daripada insiden kecurian kabel pendawaian, dan pemaju kini sedang menggantikan sistem tersebut.
“Kita gesa mereka mempercepatkan proses kerana pembeli sudah lama menunggu. Kita mahu tiada lagi alasan selepas ini,” tegas Michael.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya kini menggerakkan pasukan petugas khas projek sakit bagi mengenal pasti dan memantau projek perumahan yang tertangguh lebih setahun di seluruh Sarawak. –UKAS