Pekasam ialah sejenis makanan peram tradisi yang terkenal dalam kalangan masyarakat Borneo khususnya kaum peribumi di Sarawak.
Kebiasaannya, pekasam atau jeruk ini diperbuat daripada daging dan ikan.
Bagi masyarakat peribumi di negeri ini, pekasam merupakan satu cara mengekalkan makanan dengan menggunakan garam untuk proses penyimpanan makanan supaya mampu bertahan lebih lama.
Untuk itu, garam menjadi bahan utama digunakan untuk memerap ikan atau daging bagi mengukuhkan struktur daging atau ikan agar lebih pejal.
Kini pekasam menjadi produk makanan tradisional yang mampu setanding serta mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.
Antara pekasam yang kian mendapat permintaan tinggi dan menjadi kegemaran ramai ialah pekasam Ikan Sultan
IKAN SULTAN
Ikan Sultan atau juga dikenali sebagai Ikan Jelawat merupakan ikan pemangsa air tawar.
Dalam Bahasa latin, ikan ini dikenali sebagai Leptobarbus Hoevenii dan merupakan sejenis ikan bersirip.
PROSES PEKASAM IKAN
Proses penyediaan bermula dengan ikan yang disiang dan dibersihkan terlebih dahulu sebelum diperap bersama ketulan garam kasar.
Ini dilakukan dengan tujuan untuk memastikan ikan sebati dengan garam tersebut.
Ikan yang telah diperap itu kemudiannya akan disalut dengan serbuk beras yang telah di goreng dan dikisar sebelum diteruskan diperap lagi selama lebih kurang dua minggu.
Menurut Sima Kanyan, 25, ikan sultan hendaklah dicuci terlebih dahulu sebelum ianya ditoskan.
“Lepas ditoskan campur isi ikan akan dicampur dengan gula pasir dengan menyuruh isinya”
“Ini untuk memastikan pekasam ikan tidak terlalu lembut atau pecah bila di masak,” katanya.
Kemudiannya, ikan tersebut akan dicampurkan pula dengan garam mengikut keperluan dan citarasa.
“Kalau boleh masin sedikit dan ikut citarasa sendiri dan pastikan ikan tersebut digaulkan,” katanya.
BAHAN DIPERLUKAN
Menurut beliau, antara bahan tambahan yang diperlukan untuk membuat pekasam adalah beras yang goreng dalam kuali tanpa guna minyak.
“Jumlah berat pula adalah mengikut keperluan dengan bergantung kepada jumlah atau banyaknya isi ikan,” katanya.
Tambahnya, beras tersebut juga hendaklah di goreng sehingga warna beras tersebut bertukar kekuningan dan betukar aromanya seperti bau beras hangus.
“Sekiranya dah kuning angkatkan supaya beras tersebut sejuk untuk memudahkannya ditumbok sehingga hancur,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa salah satu lagi bahan yang digunakannya untuk merendam ikan tersebut ialah dengan menggunakan air beras.
“Lepas itu, barulah ikan tersebut diperap dan dibiarkan di dalam bekas yang bersih bagi memastikan pekasam tersebut berkualiti,” katanya.
Tambah beliau, ada juga yang menggaul ikan sultan tersebut dengan menggunakan hirisan daun kepayang.
KESIMPULAN
Ternyata, membuat pekasam ikan sultan memerlukan kreativiti yang tinggi untuk menghasilkan rasa yang menyelerakan.
Pastinya, ikan sultan yang telah siap menjalani kesemua proses tersebut sedia untuk dihidangkan dan amat menyelerakan dimakan bersama nasi yang masih panas atau sejuk.
Pekasam ikan ini juga diharumkan dengan limau dan cili padi serta dimasak bermasa bunga kantan.
Oleh Ellie Edward