
SEMATAN: Usaha meningkatkan kemudahan pendidikan luar bandar terus mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang mengumumkan peruntukan sebanyak RM350,000 bagi tujuan menaik taraf Dewan Sri Jamilah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan.
Pengumuman itu dibuat semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sematan yang berlangsung semalam.
“Peruntukan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk memastikan para pelajar mendapat kemudahan yang selesa dan kondusif, selari dengan usaha meningkatkan mutu pendidikan di kawasan ini,” jelas beliau dalam ucapannya.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan merupakan agen perubahan yang penting dalam mengubah cara hidup serta taraf ekonomi masyarakat, dan ia perlu diperkasa melalui kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengetua SMK Sematan, Milton Junde dan Yang Dipertua PIBG, Tania Hamid Bugo.
Naik taraf dewan ini dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar dan guru dalam penganjuran pelbagai program pendidikan, kokurikulum dan aktiviti komuniti.
-UKAS