
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola ketika aksi perlawanan akhir Piala FA.
LONDON: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, mahu anak buahnya bangkit daripada kekecewaan selepas tewas dalam final Piala FA dan menjadikan kegagalan itu sebagai pemangkin untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
City terpaksa menelan hakikat menamatkan musim tanpa sebarang trofi utama buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun, selepas tunduk 0-1 kepada Crystal Palace di Stadium Wembley.
Gol tunggal Eberechi Eze pada minit ke-16 serta aksi cemerlang penjaga gol Dean Henderson yang menyelamatkan sepakan penalti Omar Marmoush menjadi detik malap buat skuad The Citizens yang masih bergelut dengan prestasi tidak menentu musim ini.
Malah, City turut mempertikaikan keputusan pengadil yang tidak melayangkan kad merah kepada Henderson selepas dia didakwa mengendalikan bola di luar kotak penalti pada babak pertama.
“Kami sudah perbaiki banyak isu dalam sebulan terakhir, tapi menentang Palace dan Southampton, kami gagal cipta banyak peluang. Itu yang mengecewakan,” kata Guardiola.
City kini di tangga keenam liga, satu mata di belakang tempat kelima yang memberikan laluan automatik ke Liga Juara-Juara.
Mereka bakal menentang Bournemouth di laman sendiri, sebelum aksi penutup musim di tempat lawan menentang Fulham pada 25 Mei ini.
Guardiola mengakui kegagalan menjaringkan gol serta kurangnya kreativiti di bahagian tengah menjadi punca utama kemerosotan pasukan.
“Kami ada penguasaan bola, tapi tidak cukup kreativiti dan ketajaman untuk menembusi pertahanan Palace yang sangat disiplin,” katanya.
Kekalahan itu turut menandakan dua musim berturut-turut City tewas di pentas final Piala FA, selepas dikecewakan Manchester United tahun lalu.
Turut menjadi tumpuan ialah keputusan penyerang utama, Erling Haaland, menyerahkan tanggungjawab mengambil sepakan penalti kepada Marmoush.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keyakinan pemain Norway itu, yang masih gagal menjaringkan sebarang gol dalam enam penampilan di Wembley.
Meskipun sudah meledak 30 gol dalam 42 perlawanan musim ini, Haaland tetap dihantui prestasi hambar di pentas besar, termasuk final Liga Juara-Juara dan aksi Piala Super UEFA.
Sementara itu, Kevin De Bruyne, yang membuat penampilan terakhir dalam final bersama City, dilihat gagal mempamerkan magis seperti sebelumnya seiring keputusan kelab untuk melepaskannya akhir musim ini.
“Saya mahu Kevin berada di posisi terbaik untuk mencipta peluang, tapi hari ini kami tak jumpa ruang itu,” jelas Guardiola.
Mengakhiri sidang media, Guardiola tetap optimis dan percaya peluang masih terbuka.
“Kami bermain lebih baik daripada ketika menang 5-2 ke atas Palace April lalu. Kami lakukan segalanya, tapi bila 11 pemain bertahan begitu, bukan mudah,” tambahnya.
City bakal menghadapi dua perlawanan terakhir musim ini dengan tekanan besar untuk memastikan tempat dalam kelompok lima teratas. – AFP