
Abang Johari pada mesyuarat MKT PBB, bersama pemimpin kanan parti. Foto FB Fadillah Yusuf.
PETRA JAYA: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membuat pelantikan baharu bagi jawatan dilantik untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi sesi 2025-2028.
Pelantikan itu menyaksikan kombinasi mantap antara pemimpin berpengalaman dan barisan muda berpotensi tinggi.
Premier Sarawak yang juga Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkannya sebagai gabungan mantap.
“Langkah ini mencerminkan usaha parti dalam memperkukuh barisan pelapis kepimpinan melalui pindaan perlembagaan yang membolehkan penyertaan lebih luas golongan muda.
“Jadi pimpinan kita mesti kita latih, lebih-lebih lagi ketika ini kita banyak masalah baru dalam sudut politik dan juga sudut sosial ekonomi.
“Kita berkehendakan mereka yang berpengalaman dan juga yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi untuk kita menjuruskan perjuangan kita dari sudut politik dan juga dari sudut sosial ekonomi.
“Jangan lupa, kita hendak membangun dengan kini adalah era transisi ke arah ekonomi baru dan juga keadaan baru termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MKT PBB dan mesyuarat Pra-Majlis Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.
Abang Johari berkata kombinasi pemimpin lama yang berpengalaman bersama pemimpin muda yang celik teknologi dijangka akan memperkukuh lagi daya saing dan hala tuju strategik PBB.
Mengambil iktibar Pilihan Raya Singapura, beliau menekankan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) terutamanya ‘deepfakes’ yang boleh menabur fitnah.
“Jadi, kita melihatlah keadaan masa depan disebabkan oleh teknologi canggih dan juga kita terpaksa dapat mengurus dan juga menyesuai diri kita dengan cara-cara baharu yang berlaku.
“Jadi, pimpinan dalam PBB mesti ada orang lama dan baharu di mana digabungman semua dalam transisi ke masa depan kerana PBB mesti relevan setiap masa,” jelasnya.