KUALA LUMPUR: Sumbangan pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah meningkat kepada 35.9 peratus berbanding 35.8 peratus pada tahun 2018, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bagaimanapun, ia berkata, pertumbuhan pampasan pekerja menyederhana pada kadar 4.8 peratus pada tahun 2019.
Pertumbuhan pampasan pekerja didorong oleh sektor perkhidmatan yang merekodkan pertumbuhan pada 6.1 peratus, disokong oleh aktiviti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan dengan pertumbuhan kukuh 9.1 peratus.
“Bagi sektor pembuatan, pampasan pekerja berkembang 4.0 peratus, dipacu oleh produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan dengan pertumbuhan 9.3 peratus,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Selain daripada itu, pampasan pekerja sektor pembinaan meningkat secara perlahan kepada 1.0 peratus, didorong oleh aktiviti kejuruteraan awam dan pembinaan pertukangan khas, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan pertumbuhan yang perlahan pada kadar 1.1 peratus.
Pampasan pekerja bagi sektor pertanian kembali positif pada kadar 0.1 peratus daripada negatif 9.3 peratus tahun sebelumnya, disokong terutamanya oleh prestasi yang lebih baik dalam aktiviti getah, kelapa sawit, ternakan dan pertanian lain.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan KDNK nominal ini diterajui oleh lebihan kendalian kasar (LKK), yang meningkat RM31.6 bilion untuk merekodkan nilai RM912.7 bilion pada 2019.
“Nilai pampasan pekerja meningkat kepada RM542.4 bilion berbanding RM517.8 bilion pada tahun sebelumnya. Sementara itu, cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import mencatatkan nilai RM55.6 bilion pada tahun 2019’’.
Menurut beliau, pada 2019, lebihan kendalian kasar kekal sebagai penyumbang terbesar dalam komponen pendapatan dengan sumbangan sebanyak 60.4 peratus atau RM912.7 bilion. Dengan nilai ini, LKK telah mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus (2018: 7.5 peratus).
Berikutan peratusan tinggi lebihan kendalian kasar pada 60.4 peratus, statistik KDNK kaedah pendapatan adalah penunjuk penting bagi menentukan pulangan ke atas faktor pengeluaran dalam ekonomi Malaysia, kata Mohd Uzir. – Bernama