Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DVS teliti cadangan import daging babi dari Thailand, China, Brazil
  • SEMASA

DVS teliti cadangan import daging babi dari Thailand, China, Brazil

Utusan Sarawak 22 hours ago
MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan meneliti cadangan Gabungan Persatuan Pedagang Daging Babi untuk mengimport daging babi dari Thailand, China dan Brazil bagi menangani kekurangan bekalan dalam negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Datuk Arthur Joseph Kurup, susulan penutupan beberapa ladang di Selangor ekoran penularan penyakit demam babi Afrika (ASF).

“Setakat ini, Malaysia masih boleh mengimport daging babi dari negara Eropah, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.

“Pengimport disarankan mengambil tindakan segera mendapatkan bekalan dari negara-negara tersebut terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata kerajaan memandang serius isu kekurangan bekalan daging babi yang dibangkitkan industri kerana selain memberi tekanan kepada pengguna, ASF turut menyebabkan kerugian besar kepada penternak serta melonjakkan harga daging segar di pasaran. 

Dalam perkembangan berkaitan, katanya KPKM akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengkaji cadangan persatuan untuk mengawal harga daging babi, selaras peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Menurut Mohamad, harga daging babi kebiasaannya dikawal hanya semasa musim perayaan apabila permintaan meningkat.

Bagi pelan jangka panjang dalam menangani isu ASF, kerajaan menggesa pemain industri mentransformasi ladang kepada sistem Modern Pig Farming (MPF) yang lebih selamat dan bebas penyakit.

Dalam hal ini, beliau berkata kementerian mengalu-alukan sokongan kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Sabah dalam pelaksanaan MPF, termasuk usaha pengezonan Pig Farming Area (PFA) oleh Sarawak dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata pelaksanaan MPF dan PFA akan meningkatkan tahap biosekuriti ladang, sekali gus mengurangkan risiko penularan penyakit.

Katanya memandangkan pelaburan MPF memerlukan kos tinggi, KPKM bersedia memudah cara proses transformasi bersama pihak berkepentingan menerusi sesi libat urus dalam masa terdekat.

“Langkah ini diharap menstabilkan semula bekalan babi dan membantu negara mencapai Kadar Sara Diri 90 peratus bagi daging babi tempatan menjelang 2030,” katanya.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Dzulkefly ketuai delegasi Malaysia ke WHA78 di Geneva
Next: Timbalan Premier Sarawak terima kunjungan hormat daripada SME Corp Malaysia  

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.