
KUCHING: Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2025 berperanan penting dalam menyokong agenda pembangunan destinasi pelancongan mampan dan hijau di Sarawak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurutnya, penganjuran festival berkenaan yang kini memasuki tahun ketiga merupakan bukti usaha berterusan ke arah kelestarian dalam industri pelancongan.
“Apa yang telah kita lakukan selama ini membuktikan bahawa festival ini semakin bergerak ke arah kelestarian terutamanya dalam sektor pelancongan.
“Kita perlu memperkenalkan lebih banyak kreativiti serta melibatkan lebih ramai pemain industri daripada pelbagai latar belakang agar mereka dapat melihat potensi dan keperluan untuk berada di sini,” katanya ketika ditemui media selepas sidang media Festival Gastronomi Nyamai Sarawak, Kuching hari ini.
Jelas beliau, aspek pemuliharaan alam sekitar turut diberi penekanan, termasuk penggunaan bahan mesra alam seperti buluh dan sumber hijau lain dalam festival berkenaan.
“Melalui kreativiti penggunaan bahan-bahan semula jadi seperti buluh, kita bukan sahaja menjaga alam sekitar, tetapi juga memberikan peluang kepada golongan muda untuk lebih menghargai kelestarian sebagai sebahagian daripada masa depan mereka.
“Ia juga membuka ruang untuk mereka menimba ilmu serta berkarya dalam suasana yang memberi nilai tambah kepada komuniti dan industri,” jelasnya.
Nancy turut menekankan keperluan untuk festival ini terus berkembang dan disertai pelbagai kelompok masyarakat agar lebih banyak idea dan inovasi dapat diketengahkan.
“Sarawak memiliki pelbagai produk yang unik dan berpotensi untuk dipromosikan seperti daun-daun yang boleh dimakan. Produk ini bukan sahaja menyumbang kepada penjagaan kesihatan, malah boleh diperkenalkan sebagai sebahagian daripada produk berasaskan alam semula jadi,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa vendor yang menyertai festival ini akan dikenakan bayaran sewa sebanyak RM1,000 bagi tempoh dua hari.
Oleh Amanda L