DEBAK: Penyerahan Projek Daif Sarawak (2021) membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam meningkatkan kemudahan dan infrastruktur pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata pelaksanaan Projek Pembinaan Gantian dan Tambahan Bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas, Debak mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan melalui penyediaan infrastruktur yang moden dan kondusif.
“Projek ini disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi pelaksana kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan merupakan antara inisiatif strategik di bawah Program Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, projek berkenaan bernilai RM10.15 juta dan telah dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia bermula 21 Mac 2023 melalui kaedah ‘Reka dan Bina’, dengan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan pada 4 Mac 2025.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Projek Daif Sarawak (2021) – Pembinaan Gantian dan Tambahan Bangunan di SMK Saribas, Debak, hari ini.
Mengulas lanjut, Nanta, berkata skop projek tersebut merangkumi pembinaan sebuah dewan tertutup, dua bilik darjah baharu, sebuah bilik Pendidikan Seni Visual serta dua unit rumah guru (Kelas F).
“Skop kerja turut melibatkan perobohan Blok SAGA dan sebuah blok kuarters lama bagi memberi laluan kepada pembinaan struktur baharu yang lebih moden dan tersusun,” jelasnya.
Tambah beliau, projek ini turut menggunakan teknologi Building Information Modelling (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi meningkatkan kualiti serta produktiviti pembinaan.
“Reka bentuk projek turut mengadaptasi prinsip ESG (Environment, Social and Governance) yang mana bangunan bukan sahaja memenuhi keperluan pendidikan, tetapi juga bersifat mampan, berdaya tahan dan inklusif, termasuk mesra Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Nanta turut menyatakan bahawa susun atur ruang bangunan baharu direka secara ergonomik, mesra alam sekitar, dengan pencahayaan semula jadi, pengudaraan baik serta mudah diselenggara.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada KPM atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan, khususnya dalam penyeliaan di tapak sehingga projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.
“Pengalaman ini akan dijadikan panduan untuk pelaksanaan projek seumpamanya pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, JKR Malaysia akan terus memantau rapi pelaksanaan projek oleh pihak kontraktor sepanjang tempoh tanggungan kecacatan (Defect Liability Period – DLP), selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam.
Oleh Adi Safarman