Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak bangunkan Belawai sebagai kawasan peranginan seperti Damai – Abang Johari
  • SEMASA

Sarawak bangunkan Belawai sebagai kawasan peranginan seperti Damai – Abang Johari

Utusan Sarawak 1 day ago
TERIMA KASIH… Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima cenderamata daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan Belawai sebagai kawasan peranginan tepi laut, sekali gus menjadikannya tarikan baharu pelancongan di Wilayah Tengah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata usaha tersebut sejajar dengan perancangan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan sektor pelancongan luar bandar seperti yang telah dilakukan di Damai, Kuching.

“Kawasan tengah Sarawak masih kekurangan lokasi riadah hujung minggu untuk orang ramai. Maka, kita mahu membina kawasan peranginan di Belawai kerana ia terletak di tepi laut.

“Jika dari Sarikei ke Belawai, hanya mengambil masa sekitar 40 minit.

“Ia sama seperti Kuching ke Damai, atau Sibu ke Belawai,” katanya ketika merasmikan Jalan Pasi ke Jalan Sibu/Tanjung Manis dan Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman, di sini hari ini.

Abang Johari turut menyebut keunikan Sarikei yang mempunyai tarikan tersendiri, terutamanya dalam aspek kulinari.

“Saya di Kuching pun tahu tentang kedai roti terkenal di Sarikei. Begitu juga dengan makanan tradisi Lembah Rajang seperti tumpik, yang berpotensi besar sebagai tarikan pelancongan berasaskan makanan (F&B),” katanya.

Menurutnya lagi, pembangunan pelancongan memerlukan sokongan infrastruktur jalan raya yang lengkap, dan sebab itu kerajaan telah melaksanakan projek-projek jambatan strategik.

“Kita sudah rasmikan Jambatan Batang Lassa yang panjang itu, dan tidak lama lagi Jambatan Batang Paloh pula akan menyusul.

“Ini menjadikan Pulau Bruit semakin mudah diakses, kawasan yang kita tahu memiliki potensi besar termasuk dari segi makanan laut,” ujarnya.

Abang Johari juga menyentuh potensi ekonomi baharu yang melibatkan pemeliharaan tanah paya bakau.

“Tanah paya kini mempunyai nilai dalam perdagangan karbon.

“Jika kita kekalkan ekosistem ini, ia boleh menyerap karbon dan menjadikan Sarawak pemain penting dalam carbon trading.

“Orang akan bayar untuk simpanan karbon ini, dan ia membuka satu lagi sumber pendapatan kepada negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Abang Johari, berkata beliau komited untuk menambah pendapatan negeri berpandukan lunas undang-undang sedia ada.

“Kita tidak minta sesuka hati. Kita kaji undang-undang, dan cari peruntukan yang memberi kelebihan kepada Sarawak.

“Hak kita termaktub dalam Perlembagaan, dan Perlembagaan lebih tinggi daripada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974),” tegas beliau.

Beliau berkata Perlembagaan itu sendiri berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan itulah sebabnya Sarawak bertegas dalam mempertahankan haknya.

“Selagi undang-undang menyebelahi kita, kita mesti terus mempertahankannya. Saya juga berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana memahami perkara ini.

“Sebab itu beliau bersetuju melantik Petros sebagai sole aggregator (pengagregat tunggal) gas di Sarawak,” katanya.

Abang Johari turut menegaskan bahawa Sarawak tidak berniat menentang Petronas, sebaliknya mahu bekerjasama secara adil demi manfaat bersama.

“Kita tidak mahu ‘membunuh’ Petronas. Kita mahu kerjasama yang adil, yang memberi manfaat kepada Sarawak dan juga Malaysia.

“Kalau Sarawak maju, Malaysia juga akan maju,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari turut menyertai konvoi bermotosikal dari Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman ke Tanjung Manis, bersama 120 peserta terdiri daripada Pemuda PBB Kuala Rajang, Pemuda PBB Meradong dan agensi-agensi kerajaan.

Oleh Earl Anek

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Jabal Nur, pendakian menyuluh cahaya keinsafan bagi jemaah haji
Next: Pengendalian dron tanpa permit dilarang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.