Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Misi Nurzhafarina satukan komuniti dengan gajah Borneo dalam usaha konservasi
  • RENCANA

Misi Nurzhafarina satukan komuniti dengan gajah Borneo dalam usaha konservasi

Utusan Sarawak 9 hours ago

PENSYARAH Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Nurzhafarina Othman menunjukkan Anugerah Whitley 2025 yang diterimanya ketika ditemubual Bernama baru-baru ini. Penerima Anugerah Whitley 2025 atau dikenali sebagai Green Oscar yang berprestij oleh Whitley Fund for Nature (WFN) berpangkalan di United Kingdom, sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigihnya melindungi spesies gajah Borneo. Pengasas dan Pengarah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Seratu Aatai yang membawa maksud “bersatu hati” itu, menerima anugerah bernilai £50,000 (kira-kira RM287,000) daripada Penaung WFN Puteri Anne di Royal Geographical Society, London pada 30 April lepas. FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU: Di tengah-tengah rimba Borneo yang menghijau, tersembunyi kisah tentang manusia dan gajah berkongsi bumi yang sama. Bukan sekadar cerita tentang konflik, tetapi juga perjalanan mencari kesefahaman antara dua makhluk dalam kehidupan yang kompleks.

Pakar pemuliharaan gajah menyifatkan usaha melindungi gajah Borneo ibarat mencari resipi sempurna dalam sesuatu masakan – memerlukan keseimbangan – selain memahami sifat haiwan itu, jiwa komuniti tempatan yang telah lama menjadi “tuan rumah” kepada habitat gentle giants ini juga perlu diselami.

Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini, Pensyarah Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Nurzhafarina Othman berkata seseorang itu boleh menghabiskan seumur hidup mengkaji gajah Borneo, iaitu cara haiwan itu bergerak, makan dan hidup, namun tanpa memahami kisah manusia yang tinggal berhampiran, ia bagaikan membaca buku separa lengkap.

“Kita tidak boleh fokus gajah sahaja, mudah untuk kita pelajari ciri-ciri gajah, haiwan ini tidak senang berubah hati, maka kita senang faham.

“Manusia pula kadang-kadang positif, kemudian tiba-tiba boleh berubah, namun mereka bukan sekadar penonton, tetapi watak utama dalam kisah konservasi yang sedang berlangsung ini, jadi kita sedang cuba seimbangkan kedua-dua kaedah ini untuk pastikan konservasi yang berkesan,” katanya.

Nurzhafarina merupakan penerima Anugerah Whitley 2025 atau dikenali sebagai Green Oscar yang berprestij oleh Whitley Fund for Nature (WFN) berpangkalan di United Kingdom, sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigihnya melindungi spesies gajah Borneo.

Pengasas dan Pengarah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Seratu Aatai yang membawa maksud “bersatu hati” itu, menerima anugerah bernilai £50,000 (kira-kira RM287,000) daripada Penaung WFN Puteri Anne di Royal Geographical Society, London pada 30 April lepas.

Nurzhafarina berkata gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis diklasifikasikan sebagai “Terancam” dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) disebabkan populasi yang kecil dan berkurangan, terdapat hanya kira-kira 250 ekor gajah spesies itu di Sabah.

Beliau berkata dalam usaha membantu komuniti berdepan konflik dengan gajah Borneo, pihaknya mendapati komuniti yang terkesan sering berasakan diri mereka bersendirian dan ada kalanya mereka tidak faham apa yang perlu dibuat apabila haiwan terbabit hadir ke kawasan mereka.

“Sudahlah gajah itu besar, komuniti di situ pula tidak tahu apa perlu dilakukan. Tanaman seperti kelapa sawit (yang dimusnahkan gajah) itulah punca pendapatan mereka. Apabila mereka takut, kita perlu bersama-sama dengan mereka, bantu mereka fahamkan situasi untuk mencari penyelesaian bersama,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Seratu Aatai memainkan peranan penting dalam usaha “menyatukan hati” semua pihak terlibat dengan menanam sikap lebih positif dalam usaha konservasi ini dengan mengubah cara komuniti melihat gajah itu sendiri.

Gajah katanya, sering dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan akademik seperti UMS, hakikatnya gajah ini milik semua, terutama komuniti yang tinggal berdekatan habitat mereka, justeru pihaknya mahu menerapkan fahaman kepada komuniti bahawa gajah adalah sebahagian daripada alam sekitar yang dikongsi bersama.

“Kita sering menyebut tentang konflik manusia dengan gajah, maka kami ingin mengubah cara mereka melihat isu itu. Kesedaran tidak semestinya akan mengubah terus tindakan mereka, kita perlu bersama-sama mereka belajar yang betul dan yang salah. Kami sentiasa mendengar.

“Kami cuba menjadi penghubung suara mereka yang mungkin kurang didengari dengan pihak yang mempunyai lebih banyak sumber seperti kerajaan atau badan antarabangsa misalnya WFN. Bersama-sama kita boleh lakukan program dengan komuniti untuk memahami kelakuan gajah, jejak pergerakan haiwan itu dan iringi gajah ke kawasan lebih selamat,” katanya.

Nurzhafarina berkata penyelesaian perlu menyeluruh dan bukannya sekadar memindahkan masalah ke tempat lain.

“Kita tidak mahu situasi orang hanya memikirkan ‘asalkan (masalah) tiada di tempat saya, (masalah) di tempat lain tidak mengapa’. Sebaliknya, kita mahu semua bersatu hati menangani isu ini sebagai tanggungjawab bersama,” katanya.

Menurut beliau, cabaran utama yang dihadapi ialah kekurangan sumber dalam kalangan komuniti. Kebanyakan mereka memiliki ladang berskala kecil dan dikelilingi ladang-ladang kelapa sawit besar yang mampu membina infrastruktur pencegahan seperti pagar elektrik dan sistem perparitan.

Akibatnya, gajah-gajah ini katanya, lebih cenderung memasuki kawasan pekebun kecil yang tidak dilengkapi sistem perlindungan, justeru pemain industri besar terutama pemilik ladang kelapa sawit wajar mengambil tanggungjawab bersama dalam mendepani isu ini.

“Walaupun penguatkuasaan undang-undang penting, komuniti juga perlu diberi peluang dan sumber untuk melaksanakan langkah-langkah perlindungan berkualiti tinggi. Malangnya, kebanyakan mereka tidak mampu berbuat demikian,” katanya.

Hasil kajian yang dijalankan pihaknya sebelum ini menunjukkan masyarakat Sabah sebenarnya memahami punca konflik ini berlaku dan menghargai kepentingan gajah, namun kebimbangan utama mereka ialah kehadiran gajah di kawasan kediaman mereka.

Nurzhafarina berkata situasi ini memerlukan pendekatan lebih menyeluruh.

“Kita perlu membantu komuniti memahami bahawa habitat gajah semakin mengecil. Penyelesaiannya memerlukan kerjasama semua pihak, bukan sahaja pekebun kecil, tetapi juga pemilik ladang besar. Kita perlu bekerja dalam skala yang lebih besar, melangkaui usaha individu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui usaha untuk menyatukan hati semua pihak berkepentingan masih mencabar dan memerlukan kerjasama berterusan.– Bernama

Continue Reading

Previous: Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.