Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Pandu EV lebih jauh, lebih tenang dengan inovasi terkini
  • TEKNOLOGI

Pandu EV lebih jauh, lebih tenang dengan inovasi terkini

Utusan Sarawak 2 days ago

WARTAWAN Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Atira Khalisa (kiri) teruja untuk pandu uji kenderaan elektrik (EV) PROTON e.MAS 7 dari Subang, Selangor ke Janda Baik, Pahang pada program ‘The Real e.MAS Drive, baru-baru ini. Sejurus melabuhkan punggung di kerusi pemandu kabin EV buat pertama kali, penulis seolah-olah tercari-cari deruman enjin yang lazimnya menandakan kereta telah dihidupkan kerana pacuan empat roda yang cukup canggih dengan teknologi serba moden itu sungguh senyap tanpa sebarang bunyi. FOTO BERNAMA

BENTONG: Jarak perjalanan atau ‘range anxiety’ barangkali menjadi batu penghalang paling besar bagi mereka yang masih berkira-kira untuk beralih daripada kereta berenjin petrol kepada kenderaan elektrik (EV).

Malah ketika diberi peluang untuk mamandu uji sebuah kenderaan EV dari Subang, Selangor ke Janda Baik Pahang baru-baru ini, persoalan pertama bermain di minda penulis tidak lain tidak bukan: “Cukupkah (kuasa) bateri untuk sampai ke destinasi?”

Namun, sebaik penulis melabuhkan punggung di kerusi pemandu sebuah EV pacuan empat roda yang dilengkapi teknologi moden, keraguan itu sedikit demi sedikit terhakis. Tanpa deruman enjin konvensional yang biasa kedengaran, tumpuan segera terarah pada sistem paparan digital menunjukkan baki bateri penuh, cukup untuk menempuh perjalanan hampir 130 kilometer (km) itu tanpa perlu mengecas semula sepanjang perjalanan.

Ketua Pegawai Jenama PRO-NET Salawati Mohd Yusoff berkata kebimbangan terhadap jarak perjalanan atau range anxiety merupakan perkara biasa dalam kalangan individu yang belum biasa memandu kenderaan elektrik memandangkan teknologi itu masih baharu di pasaran tempatan.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan elektrik masa kini dilengkapi perisian terkini yang mampu membantu pemandu merancang perjalanan dengan lebih cekap, sekali gus mengurangkan risiko berdepan situasi seperti kehabisan bateri di tengah jalan.

“Macam Proton e.MAS 7 dikeluarkan syarikat kami ia ada teknologi yang boleh beritahu berapa jumlah power, kilowatt serta berapa jauh kenderaan itu boleh berjalan lagi sama ada boleh sampai ke destinasi atau perlukan pengecasan … Bagi model jenis ini WLTP (Worldwide Harmonized Light Vehicles Test Procedure) adalah dengan 345 km dan 410 km.

“Misalnya individu ini nak pergi ke Ipoh, jadi bila tekan dalam sistem ia akan beritahu boleh sampai atau tak, jika tidak ia akan tunjuk negatif berapa KM dan beritahu tempat pengecas terdekat sepanjang perjalanan. Dari situ pengguna boleh rancanglah dan cas di tempat disediakan,” katanya ketika ditemui Bernama pada program The Real eMAS Drive di Tiarasa Escapes di sini baru-baru ini.

Penggunaan EV juga katanya, boleh diibaratkan seperti telefon pintar yang memerlukan pengguna sentiasa mengecasnya jika sudah menggunakan dalam satu tempoh masa tertentu agar tidak kehabisan tenaga.

Salawati berkata walaupun kebanyakan lokasi tempat pengecasan EV banyak tertumpu di kawasan urban seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru, ia tidak menjadi masalah buat mereka yang tinggal di kawasan pedalaman menggunakan motokar berkenaan memandangkan pelanggan boleh mengecasnya di rumah.

“Amnya, 80 peratus yang beli EV adalah dari kawasan urban dan 20 peratus dari pinggir bandar, tetapi sebenarnya boleh sahaja mereka gunakannya di kawasan pedalaman, cuma kena tahu di mana stesen pengecas dan bagaimana untuk sampai di situ,” katanya, menambah kos penyelenggaraan EV lebih rendah berbanding kereta dengan enjin pembakaran dalam (ICE).

Pengguna EV, Rosmah Idayu Abu Samah berkata meskipun duduk di rumah jenis kondominium dan tidak mempunyai pengecas sendiri di rumah, wanita berusia 48 tahun itu tetap menganggap keputusannya menukar kepada EV sekitar setahun yang lepas adalah keputusan tepat.

“Tidak ada masalah pun duduk di rumah yang bukan bertanah untuk guna EV, sebab macam saya sendiri biasanya akan cas kereta selepas balik kerja, lebih kurang 30 minit di stesen pengecas berdekatan rumah dan boleh tahan sekitar empat hari untuk penggunaan dari Damansara ke Shah Alam. Harga pun lebih jimat berbanding guna petrol, dalam RM30 sahaja sekali cas.

“Lagi satu cara pemanduan kita pun ada mempengaruhi juga, kalau kita bawa tekan lebih ia akan guna banyak tenagalah. Bagi saya EV ini bukan untuk bawa laju tetapi pemanduan konsisten, tidak tergesa-gesa,” katanya yang pernah memandu EV ke Desaru, Johor dan Pulau Pinang tanpa sebarang masalah.

Mengulas tentang keselesaan EV, beliau berkata aspek kabin senyap dan ruang dalaman luas menjadikan kenderaan itu sesuai untuk ibu yang anak-anaknya masih kecil. — Bernama

Continue Reading

Previous: Sarawak labur RM3.5 bilion bangunkan industri digital
Next: Agensi Meteorologi Jepun guna AI pertingkat ketepatan ramalan cuaca

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.