
LAWAS: Keperluan terhadap kemudahan pendidikan yang selamat dan selesa terus menjadi keprihatinan utama ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas, khususnya berkaitan projek pembinaan sekolah baharu di Jalan Punang yang masih belum siap.
Isu tersebut menjadi antara topik utama yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lawas yang diadakan hari ini, apabila para ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan pelaksanaan projek oleh pihak pemaju.
Yang Dipertua PIBG, Tommy David Kiang, ketika ditemui, menjelaskan bahawa kelewatan tersebut berada di luar bidang kuasa PIBG mahupun pihak sekolah.
“PIBG dan pihak sekolah tidak mempunyai kuasa dalam hal pelaksanaan projek. Sebarang tindakan atau pertanyaan lanjut harus dirujuk kepada jabatan dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.
Tambahnya, keadaan fizikal sekolah lama SMK Lawas kini semakin membimbangkan, dengan beberapa struktur cerun di kawasan sekolah mula menunjukkan tanda-tanda ketidakselamatan, sekali gus menimbulkan risiko terhadap pelajar dan warga sekolah.
Sebagai salah sebuah sekolah menengah tertua di daerah Lawas, SMK Lawas kini menampung 985 pelajar dari kelas Peralihan hingga Tingkatan Lima.
Dalam pada itu, prestasi akademik sekolah terus menunjukkan pencapaian memberangsangkan, apabila SMK Lawas mencatatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, dengan empat pelajar memperoleh keputusan cemerlang iaitu seorang pelajar memperoleh 10A penuh, dua pelajar mendapat 8A, dan seorang lagi meraih 7A.
Gred Purata Sekolah (GPS) bagi SPM 2024 ialah 4.79, dengan 92.86 peratus calon berjaya mendapat sijil, manakala 7.14 peratus (11 pelajar) gagal memperoleh sijil setelah tidak lulus subjek Sejarah.
Oleh Adeng Edrus