Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Ilmu bantuan cemas penting selamatkan nyawa
  • KESIHATAN

Ilmu bantuan cemas penting selamatkan nyawa

Utusan Sarawak 1 day ago
DATO Sri Wong Soon Koh (duduk lima kanan) bersama yang lain pada program Kursus Bantuan Kecemasan anjuran Komuniti Madani Norkiah dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bahagian Bawang Assan di Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Daerah Sibu di Jalan Awang Ramli Amit, hari ini.

SIBU: Kursus Bantuan Kecemasan memainkan peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan masyarakat untuk bertindak pantas semasa kecemasan serta berpotensi menyelamatkan nyawa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, berkata anggota masyarakat yang melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran menyelamat nyawa bukan sahaja mempersiapkan diri untuk menghadapi situasi kecemasan, malah memberikan sumbangan berharga kepada komuniti.

“Latihan seperti CPR (bantuan resusitasi kardiopulmonari), pertolongan cemas asas dan teknik tindak balas kecemasan mengingatkan kita bahawa khidmat kepada rakyat bukan sekadar dasar dan polisi semata-mata.

“Ia melibatkan tindakan, belas kasihan dan kesiapsiagaan untuk membantu apabila orang lain paling memerlukan kita,” katanya.

DATO Sri Wong Soon Koh (tengah) melakukan demonstrasi CPR pada program berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Bantuan Kecemasan anjuran Komuniti Madani Norkiah dan Parti Demokratik Progresif (PDP) bahagian Bawang Assan di Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Daerah Sibu di Jalan Awang Ramli Amit, di sini, hari ini.

Menurutnya, program sebegini telah memberikan kuasa kepada rakyat untuk bertindak dengan lebih yakin dan berkesan ketika berdepan kecemasan.

“Kita perlu terus menyemai budaya kesiapsiagaan dan kepedulian dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi PBSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee, berkata pembelajaran pertolongan cemas bukan sekadar memperoleh kemahiran, tetapi merupakan kemahiran hidup yang kritikal.

“Keupayaan untuk kekal tenang dan bertindak dengan betul dalam empat minit pertama boleh membuat perbezaan besar. Ia adalah kemahiran yang mudah dipelajari tetapi memberi impak yang besar dalam keadaan kecemasan,” katanya.

Chua menambah, kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja – di rumah, tempat kerja, sekolah, pusat membeli-belah atau semasa bersiar-siar, menjadikan kemahiran pertolongan cemas sebagai satu keperluan dalam kehidupan seharian.

“Dengan mempelajari kemahiran pertolongan cemas, kita bukan sahaja memperjuangkan kelangsungan hidup kita sendiri, tetapi juga berpotensi menyelamatkan nyawa orang lain ketika diperlukan.

“Inilah sebabnya mengapa kemahiran ini adalah satu hadiah berharga yang boleh kita berikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya lagi.

Beliau menambah bahawa PBSMM Cabang Sibu mempunyai matlamat untuk memastikan sekurang-kurangnya “seorang pembantu kecemasan di setiap rumah” untuk bertindak pantas ketika kecemasan berlaku, sejajar dengan usaha menjadikan pertolongan cemas lebih mudah diakses dan menyeronokkan untuk dipelajari.

Turut hadir pengerusi penganjur, Kaunselor Wong Hua dan pegawai penerangan Daerah Sibu, Zaini Morshidi.

Oleh Tarani Lanting

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Keselesaan pesakit di Hospital Saratok perlu diutamakan
Next: COVID-19 kekal di bawah ambang amaran, KKM pantau rapat situasi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.