CRISTIANO Ronaldo menyasarkan lebih banyak rekod ketika Juventus berkunjung ke Udinese pada Jumaat dengan gelaran Serie A kesembilan berturut-turut dalam genggaman mereka.
Ronaldo menjaringkan dua gol pada Selasa menentang Lazio untuk menjadikan jumlah gol beliau dalam Serie A kepada 51 sejak tiba di Turin pada Julai 2018.
Pemain berusia 35 tahun itu bukan sahaja menjadi pemain pertama yang mencapai jumlah 50 gol di Itali, Sepanyol dan England, tetapi juga yang terpantas, melakukannya dalam hanya 61 perlawanan liga.
Tahun lalu pemenang Ballon d’Or lima kali itu menjaringkan 21 gol dalam musim pertamanya di Itali, tetapi berkat dua gol beliau menentang Lazio, dia berjaya mencatat 30 gol musim ini, dengan baki empat perlawanan lagi.
Satu lagi gol akan menyaksikannya menyamai pencapaian bekas pemenang Piala Dunia Itali, Felice Borel, yang merupakan pemain terakhir yang menjaringkan 31 gol untuk Juventus pada musim 1933-34.
Bagi Ronaldo, gelaran penjaring terbanyak – ‘Capocannoniere’ – menjadi rebutan, dengan kini ini dia berada di kedudukan 30 sama dengan penyerang Lazio, Ciro Immobile.
Dan dia juga dapat mengatasi jumlah gol Robert Lewandowski dari Bayern Munich, penjaring terbanyak di Eropah dengan 34 gol dalam Bundesliga musim ini.
Terdapat juga catatan rakan sepasukan dari Argentina, Gonzalo Higuain, yang merupakan penjaring terbanyak dalam Serie A di bawah kendalian Sarri di Napoli pada musim 2015-16 dengan 36 gol.
“Cristiano tidak dapat diramalkan,” kata Sarri. “Jika dia mensasarkan sesuatu, dia sangat bertekad untuk mencapainya.
“Bukan hanya daripada segi fizikal, tetapi, di atas semua, mental: dia adalah juara dengan kakinya, tetapi juga dengan kepalanya.”
“Kemenangan yang sangat penting! Kami hampir mencapainya! Mari kita teruskan,” tulis Ronaldo di Instagram selepas perlawanan menentang Lazio.
Juventus dapat merangkul gelaran dengan kemenangan ke atas Udinese di tangga ke-16, tetapi ia bergantung kepada Inter Milan, yang ketinggalan lapan mata di belakang penyandang juara, kalah kepada Fiorentina di San Siro pada hari Khamis.
Jika tidak, mereka boleh memenangi Scudetto ke-36 mereka pada hari Ahad, di tempat sendiri menentang Sampdoria, memberikan Sarri, 61, gelaran liga pertamanya.
Ini akan memungkinkan mereka untuk memulakan persiapan untuk perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara UEFA, dan mengatasi defisit 1-0 daripada perlawanan pertama menentang kelab Perancis, Lyon bulan depan. – AFP