Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Ops Gasak: KPDN kesan 52 kes penyelewengan LPG seluruh negara
  • SEMASA

Ops Gasak: KPDN kesan 52 kes penyelewengan LPG seluruh negara

Utusan Sarawak 1 day ago
TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh (kanan) meninjau sebuah premis perkhidmatan dobi yang menggunakan LPG subsidi untuk menjalankan operasi semasa menyertai Ops Gasak 2025 hari ini. Operasi ini menyasarkan kegiatan haram seperti pemindahan LPG subsidi ke tangki industri serta penyeludupan ke luar negara. Ops Gasak 2025, yang bermula pada 1 Mei hingga 31 Oktober ini dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. FOTO BERNAMA

BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) mengesan 52 kes melibatkan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) oleh pihak industri sejak Ops Gasak dilancarkan pada 1 Mei lepas, dengan nilai rampasan RM850,730.

Timbalan Menterinya Dr Fuziah Salleh berkata ia melibatkan pemeriksaan ke atas 1,421 premis di seluruh negara setakat 14 Mei, dengan Pulau Pinang sahaja merekodkan 11 kes setakat semalam.

Beliau berkata antara kes dikesan melibatkan premis yang menyimpan dan menggunakan LPG tanpa permit sah selain terdapat pemborong membekalkan LPG bersubsidi kepada pihak yang tidak berpermit.

“Sepatutnya kalau tak ada permit pemborong tak boleh bekalkan tambahan pula kalau dia bekalkan LPG yang ada subsidi, itu lagi menjadi kesalahan. Bagi kes seperti ini tidak ada maaf kerana sebagai pemain industri mereka sepatutnya maklum dan patuh kepada garis panduan apabila hendak memulakan perniagaan.

“Kita akan siasat dan ambil tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya kepada pemberita pada sidang media Ops Gasak di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama KPDN Pulau Pinang telah menggempur tiga premis di Seberang Perai yang menjalankan perkhidmatan cucian untuk hospital dan hotel, yang didapati menyimpan dan menggunakan LPG tanpa permit sah.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata kesalahan dilakukan bukan sahaja dilihat dari sudut perundangan tetapi turut membabitkan aspek keselamatan kerana LPG adalah bahan mudah terbakar dan penyimpanan tanpa kawalan boleh mendatangkan risiko besar bukan sahaja kepada premis itu sendiri tetapi juga orang awam.

Beliau berkata setiap premis yang ingin menyimpan LPG diwajibkan memohon permit, bergantung kepada jumlah keperluan dan kelulusan pihak berkuasa seperti bomba.

Selepas Ops Gasak diumumkan, beliau berkata pihaknya menerima banyak pertanyaan dan permintaan libat urus, khususnya daripada pengusaha dobi sekali gus menunjukkan mereka sebenarnya sedar keperluan mematuhi undang-undang.

“Sebab itu KPDN ambil tindakan ini (operasi) dan akan diteruskan dengan sesi libat urus sebab mereka ada juga emel kepada saya nak jumpa, nak bincang dan sebagainya terutamanya dobi layan diri,” katanya.

KPDN melancarkan Ops Gasak bermula 1 Mei hingga 31 Oktober bagi menangani penyalahgunaan dan penyelewengan LPG bersubsidi di seluruh negara dengan tumpuan khusus diberikan kepada pemantauan penggunaan LPG dalam sektor industri.– Bernama

Continue Reading

Previous: Hari Anggota Bomba 2025, tingkat kesiapsiagaan kecemasan
Next: Guru tunjang harapan corak masa depan anak bangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.