Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Guru tunjang harapan corak masa depan anak bangsa
  • PENDIDIKAN
  • SEMASA

Guru tunjang harapan corak masa depan anak bangsa

Utusan Sarawak 23 hours ago
CIKGU Mel, 29 tahun dalam dunia pendidikan.

KUCHING: Di sebalik papan putih dan jadual harian yang padat, guru tetap menjadi tunjang harapan dalam mencorak masa depan anak bangsa.
Sempena sambutan Hari Guru 2025, beberapa pendidik membuka lembaran cerita penuh warna, menyelami liku cabaran, mengungkap harapan dan menyingkap makna sebenar di sebalik gelaran guru dalam arus pendidikan moden yang sentiasa berubah. Kisah mereka bukan sekadar kata-kata tetapi gema jiwa yang mencerminkan dedikasi dan semangat membara dalam membentuk generasi masa depan.

Tanpa Sengaja, Tetapi Kini Sudah 29 Tahun Mengabdi
Bagi Mel yang sudah 29 tahun dalam perkhidmatan, beliau mengakui tidak pernah merancang untuk menjadi guru, namun menganggap ia sebagai ‘jodoh’ yang diterima dengan hati terbuka.
“Sepanjang bergelar guru, saya banyak menyimpan pelbagai kenangan berharga. Saya merasa gembira apabila melihat kejayaan pelajar, berasa sedih apabila mereka menamatkan persekolahan, dan terkadang kecewa apabila kerja sekolah tidak disiapkan dengan sempurna,” ujarnya.
Berkongsi cabaran, beliau menyentuh soal tekanan kerja serta beban tugas bukan akademik.
“Banyak tugas pengkeranian yang tiada kaitan langsung dengan proses pengajaran.
“Guru mengajar sehingga 11 kelas seminggu, menyemak ratusan kertas peperiksaan, malah terpaksa mengikuti kursus yang kadang kala tiada kaitan langsung dengan profesion,” katanya sambil menyeru agar guru diberi ruang untuk fokus kepada pengajaran.
Beliau turut menitipkan pesanan khas sempena Hari Guru: “Kerja guru ni mulia. Jangan pertikaikan jika kami bercuti kerana dalam cuti pun kami bekerja. Selamat Hari Guru kepada semua pendidik; Guru Pemacu Reformasi Pendidikan.”

JENNIFER, 20 tahun dalam dunia pendidikan.

Menjadi Guru Ibarat Mencipta Detik Istimewa Setiap Hari
Jennifer, yang telah 20 tahun mendidik anak bangsa, berkongsi bahawa dorongan untuk menjadi pendidik datang sejak kecil lagi, dipupuk oleh keluarga dan kesedaran terhadap pentingnya pendidikan sebagai alat transformasi masyarakat.
“Cabaran utama sebenarnya datang daripada diri sendiri, tekanan kerja, perubahan sistem dan pelbagai tanggungjawab.
“Namun dengan sokongan pentadbir, rakan sejawat dan keluarga, semuanya dapat dihadapi,” katanya.
Beliau menekankan bahawa jiwa dan rasa tanggungjawab adalah nadi kepada profesion ini.
“Tanpa jiwa dan semangat, guru akan jadi seperti kecerdasan buatan yang tiada roh.”

Mendidik Anak Luar Bandar Memerlukan Ketabahan
Bagi Leha yang telah 17 tahun berkhidmat, cabaran terbesar ialah memastikan anak-anak luar bandar tidak ketinggalan, terutamanya ketika menghadapi pandemik COVID-19.

“Ramai murid tidak mendapat impak sewajarnya semasa PdPR. Selepas kembali ke sekolah, kesannya masih terasa.
“Murid sukar menguasai pembelajaran kerana kurang bimbingan secara langsung ketika pandemik,” jelasnya.
Namun, komitmen dan keikhlasan tetap menjadi pemangkin semangat beliau dalam meneruskan kerjaya sebagai guru.

SHAHREEN, 14 tahun dalam dunia pendidikan.

Guru Bukan Sekadar Menyampaikan Ilmu, Tetapi Membentuk Insan
Shareen yang telah 14 tahun berkhidmat menegaskan bahawa profesion perguruan adalah satu amanah dan peluang untuk memberi sumbangan kekal kepada masyarakat.
“Pendidikan hari ini bukan lagi tertumpu pada akademik semata-mata, tetapi juga kemahiran insaniah dan pembentukan sahsiah.
“Guru perlu menjadi fasilitator yang fleksibel, kreatif dan mampu mengintegrasi teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP),” jelasnya.
Beliau turut berkongsi kepuasan apabila melihat impak positif hasil didikan kepada murid.
“Sebagai guru, kita membina impian, memulihkan semangat dan menjadi cahaya dalam kehidupan pelajar.”

MUHD Nazrul, setahun dalam dunia pendidikan.

Setahun Jadi Guru, Jiwa Sudah Terpaut’
Bagi guru muda, Muhd Nazrul Zawawi yang baru setahun dalam perkhidmatan, keinginan untuk menyumbang kepada pembangunan generasi muda menjadi pendorong utama untuk memilih kerjaya ini.

“Walaupun baru setahun, saya belajar bahawa menjadi guru menuntut kesabaran, keikhlasan dan keupayaan memahami pelbagai latar belakang murid,” katanya ringkas tetapi penuh makna.
Menghadapi kerenah pelajar yang pelbagai memerlukan semangat yang konsisten setiap hari.
Bagi Nazrul, beliau mencari semangat itu melalui kata-kata pelajarnya sendiri.
“Ada pelajar pernah tulis nota ucapan terima kasih, dan saya tampal nota itu di meja. Bila rasa letih dan ingin putus asa, saya baca semula.
“Ia mengingatkan saya bahawa saya pernah memberi makna dalam hidup seseorang,” katanya.
Beliau juga percaya bahawa niat yang betul serta keikhlasan dalam mengajar menjadi pemacu utama untuk terus memberi.
“Setiap hari adalah perjuangan baru, tapi jika kita buat dengan niat yang baik, pasti akan ada maknanya.”

KRIZTINE, 2 tahun dalam dunia pendidikan.

Semangat Murid Luar Bandar Jadi Sumber Kekuatan

Bagi Kriztine, minat yang mendalam terhadap pendidikan dan inspirasi daripada ibunya, juga seorang pendidik, mendorong beliau memilih kerjaya sebagai guru.
Berpengalaman mengajar di kawasan luar bandar, beliau mengakui cabaran besar ialah menyesuaikan diri dengan kekangan prasarana dan latar belakang pelajar yang serba kekurangan.
“Namun kesungguhan mereka dalam mengejar kejayaan walaupun dalam serba kekurangan, itulah yang memberi saya kekuatan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan pentingnya guru membina hubungan positif dengan murid dalam menangani cabaran disiplin dan pengaruh media sosial.
“Saya percaya pendekatan yang ikhlas dan profesional mampu menyentuh hati mereka.”
Kriztine juga yakin bahawa setiap kejayaan kecil murid adalah pencetus semangat buat seorang guru.

ABDUR Rahman, tahun pertama sebagai pendidik


Kurang Dari Setahun Berkhidmat, Dedikasi dan Ketabahan Membentuk Guru
Abdur Rahman, yang baru memulakan perkhidmatannya tahun ini, memilih profesion perguruan kerana percaya pendidikan adalah asas kepada kemajuan masyarakat.
“Sejak kecil, saya suka membantu rakan-rakan dan rasa puas apabila mereka faham hasil tunjuk ajar saya.
“Menjadi guru adalah cara bermakna untuk menyumbang kepada masa depan negara,” katanya.
Cabaran terbesar beliau ialah mendekati pelajar yang hilang motivasi dan kurang minat belajar.
Dengan pendekatan empati dan sokongan moral, beliau berjaya membina hubungan rapat dan memberi inspirasi kepada mereka.
Oleh Amanda L.

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Ops Gasak: KPDN kesan 52 kes penyelewengan LPG seluruh negara
Next: Guru, murid bukan bahan uji kaji

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.