
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melaburkan sebanyak RM3.5 bilion dalam tempoh lima tahun bagi memajukan industri digital di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pelaburan itu disalurkan melalui agensi-agensi seperti Sarawak Multimedia Authority (SMA), Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
Menurut beliau, usaha memperkukuh infrastruktur digital turut digerakkan secara berterusan, dengan purata perbelanjaan tahunan mencecah RM600 juta.
“Dalam tempoh lima tahun, ini bermakna kira-kira RM600 juta setahun telah kita belanjakan daripada sumber kewangan kita sendiri.
“Namun kita sedar ini adalah pelaburan jangka panjang yang bakal memberikan manfaat besar kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada Jelajah Kreatif Digital anjuran Kementerian Digital Malaysia di TEGAS Digital Village, di sini, hari ini.
Premier Sarawak menegaskan, usaha pendigitalan ekonomi memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai sektor.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membantu rakyat, khususnya golongan B40, menghadapi tekanan kos sara hidup menerusi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang menggunakan platform e-dompet Sarawak Pay.
“Namun, penerima bantuan perlu mendaftar dengan Sarawak Pay untuk menikmati kemudahan ini,” katanya.
Tambah beliau, walaupun pada awalnya timbul keraguan terhadap penggunaan teknologi ini, tahap penerimaan rakyat kini amat memberangsangkan.
“Masih ada yang skeptikal dan bertanya, bolehkah rakyat Sarawak menggunakan Sarawak Pay?
“Hakikatnya, hari ini 85 peratus pengguna termasuk di kawasan luar bandar sudah pun menggunakannya untuk membuat bayaran,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Digital Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar, Timbalan Ketua Setiausaha Ma Sivanesan Marimuthu, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Ir Ts Sudarnoto Osman, serta ketua-ketua jabatan kerajaan.