
SERIAN: Bekas pemimpin ternama masyarakat Bidayuh, Datuk Amar Dominic Andrew Dago Randan, meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 91 tahun.
Mendiang meninggalkan isteri, Datin Amar Mary Margaret Lenuh, serta enam orang anak iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.
Dominic Dago memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia apabila berjaya meyakinkan masyarakat Bidayuh untuk menyokong penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Beliau merupakan Ahli Parlimen pertama bagi kawasan Serian dan dalam masa yang sama menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Upper Sadong untuk satu penggal.
Selepas bersara daripada politik aktif, beliau terus berkhidmat kepada kerajaan dan masyarakat Bidayuh dalam pelbagai kapasiti termasuk sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri serta sebagai Temenggong masyarakat Dayak Bidayuh.
Antara jawatan penting yang pernah disandang oleh Allahyarham termasuk sebagai ahli Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (1971–1973), Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) bagi tempoh 1973 hingga 1975, serta pengasas dan guru besar pertama Sekolah Rendah St. Dominic Kampung Pichin pada tahun 1955.
Atas jasa dan sumbangan besarnya terhadap masyarakat dan kerajaan Sarawak, beliau telah dikurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak (DA) yang membawa gelaran Datuk Amar pada tahun 2019.
Beliau turut menerima Anugerah Tokoh 1Malaysia pada tahun 2009 serta anugerah Pengasas Perjuangan Kemerdekaan dan pingat khas sempena Jubli Intan Kemerdekaan Sarawak.
Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di kediaman beliau di No. 1, Kampung Pichin bermula hari ini hingga Ahad.
Upacara pengebumian pula akan berlangsung pada Isnin, 19 Mei, di Gereja Trinitas Kudus, Kampung Pichin pada 9 pagi sebelum jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pichin.
Oleh Amanda L.