
GEORGE TOWN: Restoran Nasi Lemak Burung Hantu yang dikenali di Lembah Klang bercadang membuka sekurang-kurangnya satu cawangan nasi lemak di setiap negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah Urusan Nasi Lemak Burung Hantu Enzo Zarsadias berkata ketika ini syarikat mempunyai sembilan cawangan termasuk cawangan terbaru di George Town iaitu yang pertama dibuka di luar Lembah Klang.
“Tahun ini kami menyasarkan untuk membuka tiga hingga empat lagi cawangan namun majoritinya masih tertumpu di Lembah Klang.
“Kami mahu menjadikan nasi lemak sebagai hidangan kebangsaan yang boleh dinikmati dengan rasa yang konsisten di seluruh negara, dan pembukaan cawangan baharu di Pulau Pinang ini adalah permulaan kepada misi besar jenama Nasi Lemak Burung Hantu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian restoran Nasi Lemak Burung Hantu cawangan Lebuh Chulia di sini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.
Enzo berkata dari segi pelaburan, setiap cawangan memerlukan kira-kira RM500,000 yang bergantung kepada lokasi dan infrastruktur.
Menurutnya setakat ini semua cawangan adalah milik penuh syarikat tanpa sistem francais.
Beliau berkata pihaknya mengambil masa untuk membuka sesebuah cawangan baharu demi menjaga kualiti khususnya melibatkan penghantaran sambal segar yang siap dimasak daripada dapur pusat di Kuala Lumpur.
Enzo berkata Nasi Lemak Burung Hantu kini mempunyai lebih 300 pekerja di sembilan cawangan, dengan penggunaan sambal mencecah lima tan seminggu dan beras sebanyak 1.5 tan setiap hari.
Sementara itu, seorang lagi Pengarah Urusan Alfian Basir berkata pembukaan cawangan kesembilan itu merupakan langkah strategik untuk menguji pasaran di luar ibu kota sebelum memperluas jenama itu ke seluruh negara.
Beliau berkata Pulau Pinang menjadi pilihan kerana sinonim sebagai destinasi makanan terkenal di Malaysia, berada di lokasi strategik dengan demografi tinggi serta menjadi tumpuan pelancong, menjadikannya sebagai platform terbaik untuk melebarkan sayap ke luar Lembah Klang.
“Kami menghantar sambal setiap 48 jam daripada dapur pusat di Kuala Lumpur dan sambal kami tidak dibekukan. Jadi, ia perlu segar dan ini memerlukan penghantaran berjadual termasuk trip kecemasan bagi memenuhi permintaan di cawangan di Pulau Pinang.
“Setakat ini, semuanya berjalan lancar dan mendapat permintaan yang baik daripada penggemar nasi lemak. Operasi di cawangan baharu ini dijalankan selama 21 jam sehari mulai 7 pagi hingga 4 pagi keesokan harinya, dengan tiga jam diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan persediaan,” katanya.– Bernama