Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • PM Anwar kagumi nilai sejarah Hotel Metropol Moscow, legasi sastera Rusia
  • SEMASA

PM Anwar kagumi nilai sejarah Hotel Metropol Moscow, legasi sastera Rusia

Utusan Sarawak 16 hours ago
HOTEL Metropol Moscow

KUALA LUMPUR: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Hotel Metropol yang bersejarah di Moscow mencetuskan momen bermakna yang menyerlahkan unsur budaya ketika beliau beramah mesra dengan kakitangan sambil berkongsi kekaguman terhadap legasi warisan serta kesusasteraan mercu tanda itu.

Dalam perbualan santai dan penuh mesra dengan kakitangan hotel yang sempat dirakamkan Bernama, Anwar jelas terpesona dengan warisan dan ‘jiwa’ hotel berkenaan.

“Mengapa kamu tidak mempelawa saya ke sini lebih awal?,” kata Anwar berseloroh yang disambut dengan hilai tawa kakitangan hotel.

Apabila mendapat tahu beberapa bilik suite di hotel itu dinamakan dengan tokoh sastera, beliau sempat bertanya lagi.

“Mengapa kamu menamakan bilik-bilik ini kepada Leo Tolstoy dan Anton Chekhov? Sedangkan mereka tidak pernah bertandang ke sini,” kata Anwar berjenaka.

Pengetahuan Anwar mengenai sejarah Rusia turut terserlah apabila beliau berkongsi bahawa tokoh penting negara itu Vladimir Lenin pernah menginap di Hotel Metropol.

Kakitangan hotel mengiyakan sambil menambah bahawa Lenin pernah bertemu kakitangan di beberapa bilik suite asal, yang kebanyakannya yang masih dikekalkan dalam bentuk autentik.

Kakitangan hotel yang teruja untuk berkongsi buku sejarah lampau hotel berkenaan, turut menyerahkan senaskhah buku peringatan yang memperincikan sejarah hotel itu.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan perbincangan meja bulat peringkat tinggi dengan pemimpin perniagaan terkemuka Rusia di hotel berkenaan, dalam usaha memperluas perdagangan Malaysia dan memanfaatkan potensi kerjasama strategik baharu meliputi sektor kritikal.

Hotel Metropol yang menyambut ulang tahun ke-120 pada tahun ini merupakan simbol agung warisan seni bina dan budaya Rusia. Dibuka pada 1905, ia merupakan hotel pertama di Moscow yang menyediakan kemudahan moden seperti elektrik, lif dan air panas daripada paip.

Kagum dengan nilai sastera dan sejarah hotel itu, Anwar menyatakan bahawa beliau sentiasa berminat dengan sejarah, budaya dan karya sastera. Sebagai bibliofil dan penyokong seni terkemuka, Anwar sentiasa menekankan kepentingan untuk memelihara warisan budaya.

Sementara itu, Anwar dalam laman Facebook beliau menggambarkan Hotel Metropol sebagai sebuah mercu lagenda di Moscow yang bukan sahaja menyaksikan pelbagai detik bersejarah sejak era Tsar, malah pernah menjadi medan pertemuan tokoh-tokoh besar dunia.

“Saya tertarik melihat bagaimana warisan sastera Rusia diabadikan dengan bilik-bilik yang dinamakan sempena tokoh seperti Tolstoy, Turgenev dan Chekhov. Potret mereka turut menghiasi dinding-dinding bilik, yang mengingatkan kita bahawa kemajuan material harus berpaksikan pada jiwa, budaya dan kemanusiaan,” kata beliau.

Selain menzahirkan kekaguman beliau mengenai budaya, Perdana Menteri turut mengambil peluang untuk membincangkan potensi kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih luas dan mampan antara Malaysia dan Rusia.

Perbincangan tertumpu untuk membuka ruang baharu kepada perusahaan, inovasi dan pertumbuhan yang inklusif.– Bernama

Continue Reading

Previous: Negara ASEAN digesa iktiraf ACO, wakili koperasi serantau
Next: Permintaan buruh Malaysia terus berkembang 1.4 peratus pada ST1 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.