
SUBSIDI petrol RON95 di Malaysia telah lama menjadi antara komponen utama dalam dasar bantuan kos sara hidup rakyat.
Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, subsidi tersebut berdepan dengan cabaran besar — ketirisan yang semakin membimbangkan.
Menurut laporan Kementerian Kewangan pada 2023, dianggarkan lebih 40 peratus daripada keseluruhan subsidi petrol RON95 dinikmati oleh golongan yang tidak layak, termasuk bukan warganegara, sektor komersial, dan penyeludup rentas sempadan.
Situasi ini bukan sahaja menjejaskan peruntukan fiskal negara, malah mencetuskan ketidakseimbangan sosial apabila subsidi yang sepatutnya meringankan beban rakyat terbanyak, akhirnya dimanfaatkan oleh pihak yang tidak sepatutnya.
Ketirisan subsidi ini bukan isu kecil.
Pada 2022 sahaja, kerajaan membelanjakan sekitar RM50.8 bilion untuk subsidi bahan api, menjadikannya antara perbelanjaan subsidi tertinggi dalam sejarah negara.
Namun, jika 40 peratus daripadanya tidak sampai ke tangan rakyat Malaysia yang layak, ini bermaksud hampir RM20 bilion telah ‘bocor’ ke saluran tidak sah atau tidak wajar.
Belanjawan 2025 Malaysia MADANI Perdana Menteri menyatakan sesuatu yang tak dapat disangkal ialah warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.
Maka disarankan kerajaan memperkenalkan langkah penting untuk mengekalkan bantuan rakyat melalui subsidi tanpa membenarkan ketirisan ini berterusan.
Memahami punca ketirisan
Punca utama ketirisan subsidi RON95 ialah mekanisme terbuka, iaitu semua orang — tanpa mengira status kewarganegaraan, sektor pekerjaan, atau keperluan sebenar — bebas membeli RON95 pada harga bersubsidi.
Akibatnya, kenderaan industri besar, malah pelancong asing yang menyewa kereta juga mendapat manfaat sama seperti warga B40.
Lebih memburukkan keadaan, kawasan sempadan negara seperti di Kelantan, Perlis, dan Johor, sempadan Sabah dan Sarawak menjadi lubuk penyeludupan petrol subsidi ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, kerana harga pasaran bahan api jauh lebih tinggi.
Alternatif kepada subsidi bersasar yang membebankan
Meskipun subsidi bersasar sering dikemukakan sebagai penyelesaian, realiti pelaksanaannya rumit dan boleh menyebabkan gangguan kepada rakyat biasa, terutama jika disertakan dengan kaedah pendaftaran yang tidak efisien atau aplikasi digital yang kurang mesra pengguna.
Begitu juga cadangan menghapuskan subsidi terhadap kenderaan mewah amat meragukan.
Terdapat banyak kes seperti pemilikan kenderaan jenama mewah tetapi kenderaan terpakai yang sangat murah di pasaran sehingga RM35,000 di pasaran kerana kelapukan usia kenderaan tersebut.
Oleh itu, pendekatan praktikal yang lebih fleksibel tetapi berkesan perlu diperkenalkan.
Ukuran garis pendapatan pula perlu dilihat jumlah pendapatan seisi keluarga agar tidak berlaku ketidakadilan sosial.
Sistem pengesanan nombor plat dan pengenalan digital
Langkah pertama yang boleh diambil ialah penggunaan teknologi pengesanan nombor plat automatik (ANPR) di semua stesen minyak.
Sistem ini boleh mengenal pasti kenderaan bukan warganegara atau berstatus komersial, sekali gus menghalang mereka daripada mengakses petrol RON95 bersubsidi.
Teknologi ini telah digunakan di negara seperti Korea Selatan dan China untuk pengurusan trafik dan boleh disesuaikan dengan keperluan subsidi di Malaysia.
Selain itu, penggunaan MyKad sebagai pengesahan identiti untuk pembelian petrol subsidi boleh diperluaskan.
Ini akan memastikan hanya warganegara Malaysia menikmati harga subsidi, tanpa mengganggu pengalaman pengguna di stesen minyak.
Had pembelian harian atau mingguan
Langkah kedua ialah pengenalan had pembelian RON95 — misalnya, maksimum 50 liter seminggu untuk setiap pengguna biasa mengikut jarak bekerja sebenar.
Had ini boleh dikawal melalui sistem nombor plat dan kad pengenalan digital, tanpa perlu melibatkan pendaftaran rumit.
Sekiranya pengguna melebihi had, mereka masih boleh membeli petrol, tetapi pada harga pasaran tanpa subsidi.
Langkah ini bertujuan mengekang pembelian berlebihan yang lazimnya dilakukan oleh pihak yang ingin menyeludup atau menjual semula petrol subsidi.
Di negara jiran seperti Indonesia, pendekatan kuota ini telah dilaksanakan dengan keberkesanan sederhana.
Penguatkuasaan di kawasan sempadan
Penyeludupan bahan api di kawasan sempadan menyumbang secara signifikan kepada ketirisan subsidi.
Oleh itu, agensi penguat kuasa seperti JKDM, PDRM dan Maritim Malaysia perlu melipatgandakan rondaan dan menggunakan teknologi seperti dron, kamera pengawasan, dan pengesanan haba untuk memantau pergerakan kenderaan tangki dan tong petrol haram.
Langkah inilah perlu tindakan tegas dan keras, bukannya menyusahkan pengguna majoriti bak kata peribahasa kita tidak mahu marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Langkah ini lebih praktikal dan boleh disokong dengan undang-undang yang lebih tegas terhadap penyeludupan bahan api, termasuk pelucutan kenderaan dan denda lebih berat.
Pengasingan saluran untuk sektor komersial
Sektor pengangkutan dan komersial harus membeli bahan api melalui saluran khas menggunakan fleet card atau depot khas, dan bukannya di pam awam.
Tindakan ini dapat membezakan pengguna individu dan pengguna perniagaan, sekali gus menutup ruang manipulasi.
Kerajaan boleh tetap memberi subsidi kepada sektor tertentu seperti perikanan dan pertanian, tetapi melalui mekanisme penyaluran khas yang lebih telus dan mudah dikesan.
Satu lagi ialah mengenakan peraturan, industri berat dan besar tidak dibenarkan menikmati subsidi bersasar tersebut manakala sektor selain itu, boleh mendapat subsidi bersasar.
Maka, ini tidak membebankan pengguna dan ini dapat membantu rakyat menangani kos kenaikan sara hidup.
Sistem pemantauan dan laporan awam
Kerajaan juga boleh membangunkan platform digital seperti “MySubsidi” untuk memantau penggunaan petrol bersubsidi.
Melalui analitik data dan kecerdasan buatan(AI), sebarang corak pembelian yang mencurigakan boleh dikesan awal dan disiasat.
Di samping itu, rakyat boleh diberi ruang untuk melaporkan ketirisan atau penyalahgunaan melalui aplikasi mudah alih atau portal awam.
Kesimpulan
Ketirisan subsidi RON95 merupakan masalah struktur yang menjejaskan kecekapan fiskal negara dan keadilan sosial.
Namun, penyelesaiannya tidak semestinya bergantung kepada subsidi bersasar yang membebankan rakyat.
Dengan pendekatan yang lebih pintar, termasuk penggunaan teknologi, penguatkuasaan yang cekap, dan kawalan penggunaan tanpa menyekat kebebasan pengguna, ketirisan boleh dibendung dengan berkesan.
Kerajaan harus segera melaksanakan strategi ini agar subsidi benar-benar sampai kepada rakyat yang layak dan memerlukan bukan kepada penyeludup, pelancong, atau syarikat korporat besar yang tidak perlu dibantu.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UniversitiMalaya (UMCEDEL).