Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Mencari Makna dalam Sajak
  • WBS

Mencari Makna dalam Sajak

Utusan Sarawak 22 hours ago

SEBAGAI cetusan awal, biarlah dimulai dengan pertanyaan. Apakah makna dalam sajak? Pertanyaan ini akan menelusuri jejak-jejak yang luhur untuk memastikan makna itu sebagai nadi yang menghidupkan genre sajak itu sendiri. Tanpa makna, sajak tidak punya rupa dan wajah. Namun, mengulangi pertanyaan awal tadi, apakah makna dalam sajak dan bagaimana mencari makna dalam sajak?

            Bagi penulis sajak, mereka sudah maklum bahawa sajak memerlukan penguasaan terhadap bahasa. Perkara itu amat penting. Maka, bahasa yang digunakan untuk menjadikan ungkapan dalam sajak akan mencipta maknanya. Apakah boleh kita anggap bahawa makna dalam sajak itu berupa bahasa yang digunakan untuk membina pengungkapan sajak?

            Seseorang penulis pemula dalam penghasilan sajak, sering mengabaikan unsur utama, iaitu keupayaan terhadap pemakaian bahasa untuk membina sesebuah sajak. Hal ini terjadi berkemungkinan, penulis pemula mendahului emosi untuk mengutarakan pemikiran dalam sajaknya. Dorongan emosi ini menyebabkan seseorang penulis pemula memerangkap dirinya dengan kewajaran untuk menentukan kata dan ungkapan yang paling sesuai sebagai penceritaan dalam sajaknya.

            Tidak dinafikan bahawa emosi juga penting sebagai daya penentu dalam penghasilan sajak. Tetapi sekiranya tiada kawalan yang jelas untuk mendukung emosi, kemungkinan sajak menjadi ruang untuk meluahkan rasa tanpa makna. Luahan itu pasti akan berjela-jela dengan penggunaan bahasa yang drastik, melulu dan langsung.

            Maka, makna dalam sajak memerlukan pemahaman dan keupayaan dalam penggunaan bahasa. Pemahaman dalam konteks pemilihan kata dan keupayaan menjadikan kata-kata yang terpilih itu sebagai ungkapan yang membawa pemikiran bermakna. Asasnya, pemilihan kata perlu penelitian yang halus untuk digunakan dalam ungkapan kerana pemilihan kata yang membentuk ungkapan itulah akan menyerlahkan makna dalam sajak.

            Justeru, mencari makna dalam sajak tidak semudah meletakkan diksi atau kata sebagai ungkapan sajak. Kekeliruan berlaku apabila penjalinan diksi atau kata membawa pemaknaan yang berbeza pada pemahaman pembaca. Begitu juga halnya dengan penulis sajak. Semasa menzahirkan pemikirannya, pemilihan kata atau diksi merasakan bahawa itu yang terbaik untuk digunakan, namun ciri-ciri terbaik itu yang memungkinkan sajak itu menjadi absurd dan kurang memaknakan.

            Untuk memudahkan perbincangan kita ini tentang makna dalam sajak, mari kita sama-sama teliti dan hayati tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada minggu lepas.

            Sajak pertama berjudul “Surat untuk Tuhan” nukilan Aruan Samion yang mengelar dirinya sebagai Debu Kenyalang. Baca dan teliti keseluruhan sajak ini dalam konteks makna;

Sekuntum jiwa yang bakal mati

mengirim surat untuk Tuhan

sepertiga malam yang sepi

rinai hujan membasahi jalan

ketika gelita menyelimuti.

Setiap helaian terlakar makna

bait lirih mengiringi resahnya

bergetar bibirnya meraba aksara

titisan jernih mutiara air mata

memohon Ilahi menuntun jalannya.

Daun-daun dosa tersingkap jelas

dari luahannya memohon belas

ada jeda di setiap hembusan nafas

tanda sesal pada jiwa yang terbabas

mengharap suratnya bakal dibalas.

Surat untuk Tuhan

dikarang pada sepertiga malam

dikirim melalui doa dan sujud yang lama

daripada jiwa-jiwa yang berdosa

mungkin tanpa tinta, tanpa sampul, tanpa alamat

namun pasti sampai kepada-Nya

kerana Dia Maha Mendengar, Maha Menerima.

            Sajak ini jelas bertemakan keagamaan. Perkara ini terbukti dengan episod kata yang memaknakan kesan-kesan keagamaan itu sendiri. Pemilihan katanya ditekuni dengan sebaik mungkin. Walaupun ada pengulangan pada frasa “sepertiga malam” pada rangkap pertama dan rangkap terakhir, kesan pemaknaan itu masih kukuh untuk melantunkan latar waktu.

            Keupayaan penulis ini membina kronologi peristiwa “beribadah” pada setiap rangkap mencetuskan rasa kesedaran dan keinsafan. Pembinaan ungkapan dihalusi dengan rantaian kata harmoni walaupun dalam impak jalinan tidak begitu seimbang. Sebagai contoh, ungkapan “sekuntum” sudah membuka satu ruang yang jelas tentang kiasan tetapi dijalinkan dengan diksi “mati”. Hal ini menjadikan pemaknaan itu menjadi drastik. Walhal kalau baris pertama pada rangkap pertama itu diungkapkan dengan “sekuntum jiwa yang bakal layu”, sudah tentu akan menimbulkan estetika maknanya tersendiri. Begitu juga dengan ungkapan “bergetar bibirnya meraba aksara” pada baris ketiga rangkap kedua, jelas sedikit menyimpang pada pemaknaan yang lebih luhur. Sebagai contoh, boleh sahaja ungkapan “bergetar bibirnya membisikkan aksara” digunakan untuk disesuaikan dengan latar waktu.

            Rangkap ketiga sajak ini menarik. Tetapi kerana terlalu terikat dengan ritma pada penghujung ungkapannya, sajak ini sudah hilang tumpuan daripada rangkap pertama dan rangkap kedua. Bayangkan baris pertama dan kedua ada rangkap ketiga ini, menjadikannya agak melulu dalam menjalinkan pemaknaan antara “dosa yang jelas” dengan “memohon belas”. Namun, berbeza dengan ungkapan “ada jeda di setiap hembusan nafas”, yang memberi pemaknaan yang menarik.

            Sajak ini sebenarnya sebuah sajak yang baik. Hanya mungkin, pembinaan makna melalui kata-kata atau diksi tidak diteliti dengan sehalusnya, maka menimbulkan sedikit kecelaan atau kecacatan pada maksud sehingga meragukan makna. Kalau sajak ini dihasilkan dengan kaedah kata makna yang lebih dalam dan jelas, pasti sajak ini meruntun emosi pembaca dengan makna kekaguman, kesedaran dan keinsafan. Tahniah buat penulis sajak “Surat untuk Tuhan” ini.

            Sajak seterusnya untuk kita bincangkan ialah sajak berjudul “Luka” nukilan Hanim Musa. Sajak ini pendek dan terungkap dalam satu rangkap. Judulnya seakan-akan jelas memfokuskan tentang emosi yang bersumberkan luka. Barangkali perlu kita sama-sama fahami, bahawa sesebuah sajak bukan untuk menayangkan luahan dengan kata-kata yang muluk-muluk. Sajak juga membawa pemikiran. Sebab itu, pemilihan kata akan menentukan makna dalam sajak sebagai dasar pemikiran penulis. Mari kita sama-sama teliti keseluruhan sajak ini;

Jantung hati itu

berulang kali dijahit dengan jarum kekesalan

dianyam benang kekecewaan

roman yang tenang

dada membadai kegalauan

pedar hati sukar dijinak

bahasanya bisu

tiada siapa mendengar

biarlah…

sembuhnya hanya pada masa.

            Setelah kita membaca sajak ini, sejujurnya apa yang kita peroleh? Paling jelas hanya ungkapan yang cuba diindahkan dengan situasi episod “kelukaan”. Tidak ada usaha untuk memaknakan kelukaan sebagai perjalanan kesedaran tentang betapa hidup ini bukan hanya mengalah dan bersedih. Penggunaan kata atau diksi “kesal”, “kecewa”, “galau” dan  “pedar” sudah jelas meletakkan sajak ini terlalu drastik dengan emosi.

            Sepatutnya, sajak “Luka” harus lebih bertanggungjawab membuat hantaran pemikiran. Tidak salah mengeluh dan meluah tetapi jinakkan emosi itu dengan pemaknaan yang memberi satu pemikiran yang wajar kepada pembaca. Sebab, beberapa ungkapan mempunyai ruang untuk memaknakan pada kata yang dipilih. Sebagai contoh penambahbaikan;

            Jantung hati

            telah berulang kali

            dijahit benang kekecewaan

            dengan jarum kesal

lalu dianyam hening

Roman menjadi tenang

walau dada terbadai galau

dan pedar hati perlu dijinaki

agar bahasanya tidak bisu

untuk siapa mendengarnya

biarlah sembuh luka

semesra masa

untuk paling setia

            Setiap episod yang negatif boleh sahaja menjadi positif dengan memaknakan kegelisahan untuk mencari ruang ketenangan. Sajak harus memanusiakan manusia. Prinsip ini telah lama sebagai landasan seseorang untuk berkarya. Maka, jangan hanyut oleh perasaan sehingga meluahkan sesuatu tanpa ada arah tuju terutamanya memaknakan kepengarangan itu sendiri.

            Sajak ketiga untuk kita sama-sama bincangkan berjudul “Kerikil dari Dada” nukilan Azia Nur. Apabila membaca judulnya, kita terpancing mencari makna yang tersirat melalui diksi “kerikil” dan “dada”. Secara objektifnya, diksi kerikil membawa takrif sebagai batu, yang keras dan berketul-ketul. Sedangkan diksi dada membawa takrif sebahagian anggota badan pada manusia. Maka, gabungan “batu” dan “sebahagian anggota badan” ini memberi lapis makna yang dalam. Cuba hayati keseluruhan sajak ini;

i
Simpulan kusut kesedihan
membalut sunyi tangisku

ii
di celah dada
kerikil berat
membenam pilu
mengasak nafas
kian laju

iii
duka membelit
aku lemas
dalam kenangan

iv
masa perlahan-lahan
mengurai benang
mencungkil batu
satu per satu kususun
jadi landasan untuk berpijak
bukan meninggalkan
tapi mengenangmu
sebagai insan baru.

            Pertama yang perlu kita teliti ialah kerasionalan penggunaan nombor Rumawi atau nombor Roman dalam sajak ini. Apakah penggunaannya untuk mewujudkan episod  mengikut konteks atau naratif yang mempunyai bab pada cerita yang berbeza situasi? Hal ini penting difahami kerana penggunaan nombor Rumawi atau nombor Roman mesti mempunyai pemaknaannya tersendiri. Kalau setakat gaya, maka, sajak ini telah melakukan satu kecelaruan naratifnya.

            Sebenarnya tidak salah pun untuk menggayakan sajak dengan penggunaan simbol seperti nombor Rumawi ini. Hanya, kegunaan yang tidak rasional dan tidak membawa apa-apa kesan pada sajak akan menimbulkan keraguan tentang apa-apa yang sebenarnya hendak dikongsi oleh penulis. Sebagai contoh, pada rangkap pertama, ungkapan sudah cukup menarik untuk membawa gagasan tentang kerasnya “kerikil” dengan kiasan “simpulan kusut”.

            Tetapi apabila kiasan yang sudah membuka ruang penceritaan, terdesak dengan ungkapan drastik melalui “kerikil berat” maka, jalinan rangkap pertama dan kedua mempunyai kaitan yang langsung. Drastik itu ditegaskan dengan ungkapan “membenam pilu, mengasak nafas” hingga menjadikan unsur “kerikil” yang kecil sudah menjadi batu-batu yang lebih besar berbanding kerikil. Pemaknaan ini tidak murni dan halus.

             Begitu juga halnya dengan rangkap ketiga, apabila diksi “membelit” dan  “lemas” tidak menampakkan kesinambungan makna pada ciri-ciri “kerikil” itu sendiri, menyebabkan lanjutan penceritaannya sedikit goyah dan mentah. Paling jelas, ungkapan menjadi drastik dan tergantung maknanya. Sajak ini, secara mudahnya, hanya bercerita tentang perjalanan emosi yang terbeban dengan situasi atau kehilangan dan akhirnya secara perlahan-lahan cuba untuk bangkit semula sebagai insan baharu.

Tetapi, kerana fokus cerita yang sepatutnya memaknakan setiap kata atau diksi digunakan tidak diberi keutamaan, maka sajak ini hanya merakam emosi secara melulu. Kalaulah sajak ini disusun atur penceritaannya dengan membina episod naratifnya secara lebih teliti, pasti sajak ini menjadi amat menarik. Bayangkan judul sajak ini “Batu dalam Dada” yang kemudiannya mentakrifkan kesan kekerasan, bebanan dan keperitan melalui ciri-ciri batu untuk menjadi kiasan pada masalah dan situasi.

   Ada ungkapan yang agak menarik dalam rangkap keempat walaupun agak langsung, iaitu “bukan meninggalkan, tapi mengenangmu” seakan-akan memberi jawapan pada setiap luahan dalam sajak ini. Namun, keterjalinannya dengan ungkapan yang lain tidak terpaut kemas dan teratur. Bayangkan pemaknaan “mengurai benang” dan  “mencungkil batu” dengan usaha “kususun” kemudian menjadi “landasan”, tidak teradun sebagai sebuah perjalanan cerita yang tulus. Hanya rakaman dan catatan tanggapan semata-mata.

 Secara tuntasnya, berdasarkan ketiga-tiga sajak yang diteliti dan diperkatakan ini, jelas bahawa penguasaan terhadap makna dalam sajak masih lemah. Walaupun ada sajak yang mampu menyerlah dengan sisi-sisi yang lain, tetapi masih belum terbina dengan kemas kerana pemilihan kata atau diksi yang membangun makna itu sendiri tidak diimbangi dengan emosi yang wajar dan rasional.

Pada ulasan kali ini, saya memohon maaf kerana ada beberapa komentar dan penelitian yang mungkin menjentik rasa tidak puas hati dalam kalangan penulis yang sajaknya diperkatakan. Namun, saya harap, ulasan saya ini dilihat dalam sudut yang berbeza dengan cakupan secara umum, bahawa menulis sajak bukan dengan luahan emosi semata-mata tetapi, perlu ditangani dengan akal budi yang berpandukan ketetapan yang telah ditentukan oleh Ilahi.

Selamat menulis.

Oleh Jaafar Haji Hamdan

Continue Reading

Previous: Cikgu, Sampah Cikgu!

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.