Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Sambutan Hari Ibu ACS Sibu eratkan komuniti gereja pelbagai denominasi
  • Selatan
  • WILAYAH

Sambutan Hari Ibu ACS Sibu eratkan komuniti gereja pelbagai denominasi

Utusan Sarawak 1 day ago
RAIKAN BERSAMA… Archdeacon Jose (tiga, kanan) bersama pemimpin dan wanita gereja ketika meraikan Sambutan Hari Ibu ACS Cawangan Sibu, Isnin lepas.

SIBU: Sambutan Hari Ibu anjuran Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) Cawangan Sibu yang dihoskan oleh Gereja Roman Katolik berlangsung dengan penuh makna di sebuah hotel terkemuka di sini, Isnin lepas.

Majlis itu dihadiri ratusan wanita serta pemimpin gereja daripada pelbagai denominasi.

Acara tersebut diserikan dengan ucapan menyentuh hati oleh Pengerusi ACS Cawangan Sibu, Archdeacon Jose Jol Endru, yang menekankan peranan penting seorang ibu dalam keluarga serta dalam pembentukan kehidupan rohani anak-anak menurut ajaran Alkitab.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu yang diberkati kepada semua ibu yang hadir.

“Terima kasih kepada Gereja Katolik kerana berjaya menganjurkan sambutan ini dengan cemerlang, serta kepada semua gereja di bawah ACS Sibu atas sokongan mereka.

“Tanpa kehadiran anda semua, majlis ini tidak akan semeriah ini,” ujar beliau, yang juga Vicar Gereja Anglikan St John, Sibu.

Menurutnya, Hari Ibu bukan sekadar sambutan sosial, tetapi merupakan kesempatan untuk merenung dan menghargai nilai keibuan yang diangkat dalam ajaran Kristian.

Beliau turut merujuk tokoh-tokoh ibu dalam Alkitab seperti ibu Timotius dan neneknya, Lois, serta Hana, ibu kepada nabi besar, Samuel.

“Dalam 2 Timotius 1:5, kita diingatkan bahawa iman yang tulus sering diwarisi daripada ibu dan nenek. Kisah Hana pula memperlihatkan bagaimana doa dan kesetiaannya kepada Tuhan membentuk Samuel sebagai seorang pemimpin agung,” jelasnya.

Ucapan Archdeacon Jose turut menyentuh hati para hadirin apabila beliau berkongsi pengalaman peribadi mengenai kehilangan ibunya pada usia muda.

“Ibu saya meninggal dunia ketika melahirkan adik lelaki saya. Walaupun saya tidak sempat merasai kasih sayangnya, saya percaya nilai dan iman yang ditanamkannya kekal dalam diri saya hingga hari ini,” katanya dengan penuh emosi.

Beliau turut menyeru komuniti Kristian agar terus menjunjung tinggi kedudukan seorang ibu, sebagaimana terkandung dalam Amsal 31:30 – “Kecantikan adalah dusta, dan keelokan adalah sia-sia; tetapi perempuan yang takut akan Tuhan, dialah yang dipuji.”

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan doa khas, nyanyian pujian, persembahan hiburan serta penyampaian hadiah penghargaan kepada para ibu.

Acara yang berlangsung dalam suasana penuh kasih dan semangat kekeluargaan itu turut menjadi medan penyatuan komuniti gereja pelbagai denominasi, termasuk SIAC Methodist (Iban), SCAC Methodist (Cina), Roman Katolik, Anglikan dan Borneo Evangelical Mission (BEM).

Oleh Akun Goman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Klinik Veterinar UPMKB sambut Hari Veterinar Sedunia menerusi program ‘Snip 4 Life, End Rabies’
Next: ADUN Tamin sumbang dua televisyen kepada Gereja Katolik St Gerald

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.