

KUCHING: Sarawak perlu membina masa depan ekonomi yang teguh dengan menjadikan keusahawanan tempatan sebagai asas jati diri negeri yang progresif dan berdikari.
Menurut Senator Dato Ahmad Ibrahim, pelancaran buku bertajuk ‘Sarawak Iconic Businesses’ itu bukan sekadar acara simbolik tetapi satu pengiktirafan kepada warisan dan ketekunan yang membentuk kekuatan ekonomi negeri.
“Saya melihat bukti hidup bahawa perniagaan tempatan kita lebih daripada entiti ekonomi bahkan mereka adalah tiang-tiang komuniti kita, pembawa budaya kita, dan jambatan antara generasi.
“Setiap perusahaan yang disebut dalam buku ini bermula dengan kecil, namun dengan ketekunan, mereka membesar menjadi simbol keunggulan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Perniagaan Ikonik Sarawak dan pelancaran rasmi buku ‘Sarawak Iconic Businesses’, di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.
Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Palmhead Holdings Sdn Bhd yang juga Timbalan Pengarah Urusan Ta Ann Holdings Bhd, Simon Wong dan Presiden Persatuan Sekolah Rendah Cina Bantuan Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Jonathan Chai.
Turur sama Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo dan Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh.
Ahmad berkata usahawan Sarawak membuktikan bahawa kejayaan bukan datang dari laluan mudah, sebaliknya semangat pantang menyerah yang diwarisi turun-temurun.
“Kita sering kagum dengan jenama dan produk, tetapi lupa akan malam tanpa tidur, risiko kegagalan dan akaun bank kosong yang pernah dialami oleh pengasasnya.
“Semangat Sarawak tidak tunduk pada cabaran malah kita memimpin, membentuk dan memberi inspirasi kepada pasaran.
“Kita bukan sekadar bersaing tetapi kita mendahului dengan keunikan, ketekunan dan nilai kekeluargaan yang membentuk identiti perniagaan kita,” jelasnya.
Dalam pada itu Ahmad turut mengingatkan generasi muda agar tidak melupakan akar kejayaan dan menghargai permulaan yang penuh pengorbanan.
“Jangan lupa akar anda terutamanya generasi kedua dan ketiga, fahami bagaimana semuanya bermula dan hormatilah warisan itu.
“Buku ini bukan sekadar penghormatan, tetapi seruan untuk terus mendokumentasi, menghormati dan melabur dalam kejayaan kita sendiri.
“Sekiranya kita lupa permulaan, kita akan kehilangan arah ketika berdepan masa depan yang serba pantas dan global,” ujarnya.
Oleh MASRIN AFFIRAH