
SARIKEI: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) terus komited memastikan sistem dan infrastruktur bekalan air di Bahagian Sarikei ditambah baik, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata komitmen ini diterjemahkan melalui siapnya projek berimpak tinggi menaik taraf Loji Rawatan Air Bayong daripada kapasiti 70 juta liter sehari kepada 100 juta liter sehari, dengan kos sekitar RM68.4 juta.
“Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak ini amat signifikan kerana ia meningkatkan kapasiti loji sebanyak 30 juta liter sehari, sekali gus menambah baik sistem bekalan air sedia ada khususnya di kawasan Tanjung Manis, Belawai dan sekitarnya,” katanya.
Tambah beliau, skop projek ini merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 30 juta liter sehari, pembinaan muka sauk, pemasangan saluran paip air mentah serta kerja-kerja berkaitan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan tapak ke Loji Rawatan Air Bayong, hari ini.
Menurutnya lagi, JBALB Sarawak akan memastikan semua projek yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual, dalam usaha menjamin bekalan air berkualiti dan berterusan di Bahagian Sarikei. Ini termasuk memperluaskan liputan serta menyelesaikan isu bekalan air secara menyeluruh dan efektif.
Turut hadir ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Oleh Earl Anek