
SARIKEI: Sebanyak 200 projek kerajaan Sarawak bernilai RM4.9 bilion telah dilaksanakan di Bahagian Sarikei setakat 30 April tahun ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, kerajaan negeri berpuas hati dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang telah dirancang bagi bahagian tersebut.
“Saya dan rakan-rakan hari ini menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Sarawak (SDCCM) bersama pihak Residen dan agensi-agensi kerajaan, di mana kami telah menerima taklimat mengenai tahap pembangunan di Bahagian Sarikei.
“Secara keseluruhan, kami amat berpuas hati dengan pelaksanaan projek-projek yang telah dirancang.
“Setakat 30 April, sebanyak 200 projek telah dilaksanakan melibatkan peruntukan berjumlah RM4.9 bilion, merangkumi pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air dan bekalan elektrik.
“Kesemua projek ini berjalan mengikut jadual dan ini sudah tentu memperkukuh usaha kerajaan dalam merancakkan pembangunan di Sarikei, termasuklah pembinaan bangunan ini yang bernilai lebih RM154 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei yang turut menempatkan pejabat Residen serta agensi-agensi penting kerajaan negeri.
Menurutnya lagi, bangunan pejabat lama juga akan terus digunakan oleh agensi lain termasuk jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Ini akan memastikan koordinasi yang baik agar perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat di Bahagian Sarikei adalah menyeluruh dan mampan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Premier turut menyatakan bahawa sektor pertanian di Sarikei berpotensi tinggi untuk berkembang hasil daripada jaringan jalan raya serta bekalan asas yang semakin lengkap, terutamanya dengan pembangunan Taman Agro (Agro Park) di kawasan tersebut.
Kerajaan Sarawak juga, katanya, komited menjaga kebajikan kakitangan awam yang berkhidmat di kawasan luar bandar.
“Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13, kerajaan telah meluluskan peruntukan lebih RM3 bilion untuk membina kuarters moden di seluruh negeri.
“Kuarters ini boleh digunakan oleh pegawai kerajaan negeri dan juga Persekutuan, sekiranya perlu,” tambahnya.
Oleh Earl Anek