
SIBU: Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga hijau sebagai langkah strategik untuk menjadi hab tenaga boleh diperbaharui di rantau ASEAN menerusi inisiatif ASEAN Green.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selepas kejayaan memperkenalkan ekonomi digital, negeri itu kini bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dengan mengutamakan penggunaan tenaga hijau secara menyeluruh.
Menurut beliau, Sarawak sedang memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui dengan sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan sebagai asas kepada strategi ekonomi baharu negeri.
“Kita harus bersyukur kerana dikurniakan sumber alam yang melimpah.
“Salah satunya ialah air, yang boleh digunakan untuk mengekstrak molekul hidrogen – bentuk tenaga paling bersih untuk menggantikan bahan api fosil.
“Kita juga bertuah mempunyai sumber gas asli yang turut berpotensi menghasilkan hidrogen melalui molekul H2O dan CH4.
“Hidrogen ini boleh digunakan sebagai bahan api alternatif untuk memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Kumpulan Rimbunan Hijau yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) malam tadi.
Abang Johari turut berkongsi pengalamannya dalam pertemuan bersama pengurusan tertinggi London School of Economics (LSE) dua minggu lalu, yang menyentuh pelbagai penyelesaian kepada cabaran ekonomi global.
“Profesor di LSE menyatakan bahawa kita amat bertuah berada di Borneo, khususnya di Sarawak, kerana memiliki modal semula jadi yang penting, hutan sebagai penyerap karbon, sumber hidrogen sebagai bekalan tenaga, serta rakyat yang berpotensi dilatih sebagai tenaga kerja berkemahiran.
“Ini menunjukkan bahawa kita bukan sahaja memiliki aset semula jadi, malah sedang membangunkan modal insan.
“Ini meletakkan Sarawak pada kedudukan strategik untuk muncul sebagai pemain utama di rantau ini,” ujarnya.
Beliau menambah, kejayaan syarikat seperti Rimbunan Hijau serta pelbagai inisiatif ekonomi hijau yang sedang dilaksanakan membuktikan bahawa Sarawak berada di landasan tepat untuk menerajui pembangunan ekonomi hijau global.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Rimbunan Hijau atas kejayaan mereka sepanjang lima dekad lalu.
“Setengah abad bukan tempoh yang singkat. Anda telah menempuhi pelbagai cabaran dan ketidakpastian.
“Namun, dengan semangat dan daya tahan tinggi, anda bukan sahaja terus bertahan, malah berkembang cemerlang,” katanya.
Menurut beliau, Kumpulan Rimbunan Hijau kini tidak lagi terhad kepada sektor perkayuan semata-mata, sebaliknya telah berjaya mempelbagaikan portfolio hingga menjadi entiti global yang berakar di Sarawak.
“Kejayaan Rimbunan Hijau merupakan satu kebanggaan buat kita semua.
“Saya berharap kejayaan ini mencerminkan potensi dan kemajuan Sarawak dalam tempoh 50 tahun akan datang,” tambahnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Pengarah Urusan Kumpulan RH Datuk Tiong Thai King, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau, serta tetamu kehormat lain.
Oleh Akun Giman