
KUALA LUMPUR: Tragedi menyayat hati yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, hari ini, mengimbau kembali insiden hitam membabitkan pasukan sama lebih tiga dekad lalu.
Menurut laman rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), kejadian pada 28 Feb 1990 itu meragut nyawa 11 anggota FRU dari Trup 4B selepas trak dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di Kilometer 31, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Pahang.
Menurutnya ketika kejadian, kesemua mereka dalam perjalanan dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu bagi menjalani latihan untuk menguji kecekapan dan kepantasan pasukan tiba di lokasi operasi dalam tempoh masa ditetapkan.
Siasatan kemudian mendapati tragedi itu berpunca apabila sebuah bas ekspres dari arah bertentangan hilang kawalan ketika menuruni bukit, dipercayai akibat kegagalan sistem brek.
Bas terbabit merempuh dua buah kereta sebelum bertembung dengan trak dinaiki anggota FRU berkenaan.
“Akibat pertembungan itu, trak terbabit terperosok ke bawah bas sebelum dihentam pula oleh sebuah lori tangki minyak yang datang dari arah sama dan cuba mengelak daripada pelanggaran tersebut,” menurut kenyataan itu.
Trak pasukan itu berada di kedudukan paling hadapan daripada lima buah kenderaan FRU yang menyertai konvoi.
Lima anggota maut di tempat kejadian manakala enam lagi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Mangsa yang terkorban ialah Koperal Mohd Hilmi Ismail, Koperal Saaid Hassan, Lans Koperal Shahimi Lazim, Lans Koperal Mohd Som Puteh, Konstabel Mohd Lazim Admin, Konstabel Abdul Razak Sharif, Konstabel Wan Mazland Bidin, Konstabel Mohd Razali Bidin, Konstabel Mohd Samsudin Hamad, Konstabel Sazali Hussin dan Konstabel Kok Kiong, selain empat orang awam.
Sementara itu, kemalangan pagi tadi yang berlaku pada 8.50 pagi turut meragut sembilan nyawa anggota FRU selepas kenderaan dinaiki 18 anggota bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
-Bernama