
KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong, meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Datuk Bandar Kuching Selatan, Wee Hong Seng, yang baru-baru ini mengkritik Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak kerana membangkitkan isu-isu tempatan dan mendesak Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil tindakan.
“Tindak balas seperti ini tidak wajar bagi seorang pegawai awam dan mencerminkan salah faham asas tentang tanggungjawab kedua-dua wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan,” kata Kong.
Kong menegaskan bahawa kebajikan rakyat adalah keutamaan utama.
“Kami telah menggunakan saluran yang betul termasuk Talikhidmat, komunikasi langsung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), dan surat rasmi untuk menyuarakan kebimbangan orang awam.
“Walaupun beberapa jabatan memberikan respons secara profesional, MBKS berulang kali gagal menunjukkan keprihatinan dan tindakan segera yang sewajarnya,” jelasnya.
Sebagai contoh, Kong merujuk kepada isu saliran berpanjangan di Lorong Kedandi 2, yang mula dilaporkan pada September 2023.
“Meskipun terdapat susulan dan jaminan secara lisan, tiada kerja pembaikan dilakukan hingga kini. Keadaan semakin merosot dan mengancam keselamatan penduduk,” katanya.
Satu lagi kes melibatkan permintaan penduduk di Lorong 2, Skim Penempatan Semula Stampin, yang mahu kemudahan gelanggang futsal dan bola keranjang disediakan.
“Kami telah menyerahkan petisyen dan hanya memohon kelulusan MBKS agar kami boleh mencari pembiayaan alternatif.
“Namun, bukan sahaja permintaan ini diabaikan, malah Datuk Bandar menyifatkannya sebagai sandiwara politik,” ujarnya.
“Bagaimana ia boleh dianggap politik jika tujuan utamanya adalah untuk menambah baik kemudahan awam?,” soal Kong.
Kong turut mengkritik Datuk Bandar kerana lebih memberi tumpuan kepada pihak yang membangkitkan isu berbanding isu itu sendiri.
“Seorang Datuk Bandar seharusnya berkhidmat kepada semua penduduk Kuching Selatan, tanpa mengira latar belakang politik.
“Peranan beliau sepatutnya bersifat neutral dan berteraskan semangat sivik,” ujarnya.
Pada masa sama, Kong turut memetik kejayaan kerjasama rentas parti dalam menangani isu jambatan tenggelam di Jalan Stakan sebagai contoh positif.
“Kami bekerjasama dengan JKR Sarawak, YB Abdul Karim, dan YB Douglas Uggah—kerana kepentingan awam perlu mengatasi perbezaan politik,” katanya.
Kong menegaskan bahawa DAP Sarawak akan terus komited untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira pertimbangan politik.
“Jika mengetengahkan isu secara terbuka adalah satu-satunya cara untuk menggerakkan tindakan, kami tidak akan teragak-agak untuk terus melakukannya.
“Rakyat berhak mendapat sebuah majlis tempatan yang proaktif, bertanggungjawab, dan bebas politik,” tegasnya.
Sehubungan itu, Kong menggesa MBKS dan Datuk Bandar, Wee agar menilai kembali tanggungjawab kepada masyarakat.
Oleh Connie Chieng