
KUCHING: Sarawak bakal meningkatkan pegangan dalam sektor gas asli cecair (LNG) sebagai sebahagian daripada perjanjian komersial baharu dengan kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memberi bayangan bahawa satu dokumen perjanjian sedang dirancang antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya beri bayangan saja. Satu, mereka (kerajaan Persekutuan) iktiraf undang-undang Persekutuan dan Negeri.
“Kedua Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan diiktiraf sebagai satu aggregator gas tunggal di Sarawak.
“Ketiga, dokumen tersebut akan turut merangkumi perjanjian komersial yang melibatkan peningkatan pegangan dalam LNG,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media setelah menyempurnakan Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa Borneo (ICW Borneo) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (Bcck), hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa delegasi Sarawak telah mengadakan perbincangan dengan London School of Economics (LSE) pada 1 Mei lalu.
“Kita ada perbincangan dengan pensyarah-pensyarah terkemuka di mana kita membincangkan tentang Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), kelestarian dan satu konsep baharu yang dikenali sebagai modal semula jadi.
“Maksudnya aset anda aset semula jadi. Seperti kita, alam semula jadi dan sebagainya. Kita perlu memelihara aset tersebut tetapi ia mempunyai nilai. Dan nilai itu bergantung kepada kapasiti modal insan kita.
“Oleh itu, modal semula jadi dengan modal insan digabungkan. Tetapi modal insan mesti terdiri daripada individu yang kreatif dan inovatif. Maka, aset semula jadi kita akan lebih bernilai,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Sarawak merupakan antara rantau tropika yang paling kaya dari segi modal semula jadi, dan oleh itu memerlukan pendekatan baharu untuk menguruskan kekayaan tersebut secara berskala global.
Oleh Masrin Affirah