Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Perkembangan tarif AS-China beri kesan positif pasaran ekuiti Malaysia
  • BISNES

Perkembangan tarif AS-China beri kesan positif pasaran ekuiti Malaysia

Utusan Sarawak 17 hours ago

KUALA LUMPUR: Persetujuan Amerika Syarikat (AS)-China untuk mengurangkan sementara tarif memberi kesan positif kepada pasaran ekuiti tempatan berikutan langkah ini mengurangkan risiko kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) dan global serta mendorong aliran masuk dana asing bersih yang lebih tinggi, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

“Kami mengekalkan sasaran KLCI pada 1,657 mata dengan merancang semakan semula selepas tempoh laporan pendapatan suku pertama 2025.

“Kami kekal memilih syarikat berorientasikan domestik dengan hasil dividen yang stabil terutamanya dalam sektor perbankan, telekomunikasi, utiliti, pembinaan dan penjagaan kesihatan sebagai perlindungan daripada cabaran berkenaan tarif,” katanya menerusi nota penyelidikan.

Menurutnya bank di Malaysia berpeluang menerima manfaat daripada perkembangan ini berikutan mudah tunai dan peranannya sebagai proksi langsung kepada ekonomi domestik, yang menyaksikan Public Bank, RHB Bank dan Alliance Bank Malaysia sebagai pilihan utama CIMB Securities dalam sektor perbankan.

Sektor perladangan juga dijangka mendapat manfaat daripada permintaan global yang lebih kukuh terhadap minyak makan serta harga minyak mentah yang tinggi sekiranya ekonomi bertambah baik, dengan IOI Corporation sebagai pilihan utama.

CIMB Securities berkata ketegangan perdagangan yang mereda boleh menyokong permintaan global ke atas semikonduktor berikutan pemain teknologi Malaysia terus mengekalkan daya saing, dipacu oleh pengurangan tarif AS terhadap barangan China masih lebih tinggi berbanding tarif ke atas barangan Malaysia

Selain itu, mereka yakin pengeluar sarung tangan Malaysia akan terus menikmati faedah kos memandangkan tarif AS terhadap import Malaysia kekal pada 10 peratus berbanding 30 peratus ke atas import China.

CIMB Securities memilih Inari Amertron dan MPI Tech bagi sektor teknologi manakala Kossan dan Supermax sebagai pilihan utama dalam kalangan pengeluar sarung tangan.

“Kami telah mengeluarkan SD Guthrie daripada senarai pilihan utama berikutan penurunan penarafan yang terkini. Senarai pilihan utama yang dikemas kini adalah CelcomDigi, Gamuda, Public Bank, Farm Fresh, RHB Bank, Tenaga Nasional, IHH Healthcare dan 99 SpeedMart,” katanya.

AS dan China dilaporkan telah bersetuju untuk mengurangkan tarif antara satu sama lain selama 90 hari, menandakan ketegangan yang mereda dalam perang perdagangan berterusan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Menerusi perjanjian yang dirundingkan di Geneva pada akhir minggu lepas, AS akan mengurangkan tarif tambahan ke atas barangan China kepada 30 peratus daripada 145 peratus manakala China akan mengurangkan tarif import AS kepada 10 peratus daripada 125 peratus.

China turut mengumumkan untuk membatalkan atau menggantung beberapa langkah bukan tarif yang sebelum ini dikenakan ke atas AS.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) pula menjangkakan terdapat pengumuman mengenai rundingan atau pengurangan sebahagian daripada kadar tarif.

“Kita perlu sedar bahawa ini hanya pengurangan sementara selama tiga bulan; tarif asas 10 peratus masih wujud di peringkat global. Masih terdapat ketidaktentuan mengenai di mana kadar tarif ini akan berakhir dan kesannya terhadap pertumbuhan dunia serta dasar bank pusat.

“Tempoh selama tiga bulan ini singkat, bagaimanapun ini satu permulaan yang positif,” katanya sambil memaklumkan perjanjian ini adalah positif kepada kedua-dua negara dan ekonomi global.

MIDF Research mengekalkan unjuran asas pertumbuhan Keluaran Dalam Negara kasar Malaysia sebanyak +4.0 peratus bagi tahun ini.

Malaysia akan menerima manfaat daripada kesan limpahan positif dalam perdagangan luar sebagai ekonomi yang terbuka, katanya.

Menurutnya aktiviti perdagangan dan pengeluaran yang kukuh di AS dan China dalam tempoh 90 hari akan datang akan menyokong prospek eksport dan pembuatan Malaysia sehingga awal Ogos 2025.

“Ini dijangka memberi rangsangan positif kepada pertumbuhan Malaysia pada suku kedua 2025. Di samping itu, rundingan yang sedang berlangsung antara Malaysia dan AS juga bertujuan mendapatkan perjanjian perdagangan yang saling mendatangkan manfaat.

“Secara keseluruhan, kami mendapati semua perbincangan mengenai perdagangan sebagai perkembangan menggalakkan yang boleh membantu mengurangkan risiko tarif yang lebih tinggi terhadap prospek pertumbuhan Malaysia dan kestabilan rantaian bekalan,” kata MIDF Research.
— Bernama

Continue Reading

Previous: Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil, BNM
Next: DNeX raih kontrak inisiatif Makkah Route bernilai AS$1.8 juta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.