
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin memberi amaran bahawa kekurangan akses segera kepada makanan dan bekalan penting terus menyebabkan lebih banyak kematian dan kebuluran di Semenanjung Gaza yang dilanda peperangan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
“Laporan hari ini menunjukkan bahawa tanpa akses segera kepada makanan dan bekalan penting, keadaan akan terus merosot, menyebabkan lebih banyak kematian dan kebuluran,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.
“Kita tidak perlu menunggu pengisytiharan kebuluran di Gaza untuk mengetahui bahawa rakyat di sana sudah pun kelaparan, sakit dan meninggal dunia, sedangkan makanan dan ubat-ubatan hanya beberapa minit sahaja dari sempadan,” tambahnya.
Merujuk kepada analisis keselamatan makanan terkini yang dikeluarkan pada Isnin oleh Perkongsian Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), WHO berkata: “Risiko kebuluran di Gaza semakin meningkat berikutan sekatan berterusan yang secara sengaja menyekat bantuan kemanusiaan, termasuk makanan.”
“Keseluruhan populasi Gaza seramai 2.1 juta orang berdepan kekurangan makanan yang berpanjangan, dengan hampir setengah juta berada dalam keadaan paling kritikal melibatkan kelaparan, kekurangan zat makanan akut, kebuluran, penyakit dan kematian. Ini adalah antara krisis kelaparan paling buruk di dunia yang sedang berlaku secara langsung,” menurut kenyataan itu.
“Kebuluran masih belum diisytiharkan, tetapi rakyat sedang kelaparan sekarang. Tiga perempat daripada penduduk Gaza berada pada tahap ‘Kecemasan’ atau ‘Bencana’ kekurangan makanan, dua tahap paling serius dalam skala lima peringkat IPC berkaitan keselamatan makanan dan kekurangan zat,” katanya.
“Sejak sekatan bantuan bermula pada 2 Mac 2025, seramai 57 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat kesan kekurangan zat makanan, menurut Kementerian Kesihatan.
“Angka ini berkemungkinan rendah daripada jumlah sebenar dan dijangka terus meningkat. Jika keadaan ini berterusan, hampir 71,000 kanak-kanak berumur bawah lima tahun dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut dalam tempoh 11 bulan akan datang, menurut laporan IPC,” jelasnya.– Bernama-WAFA