
PENYEDIAAN kemudahan dan perkhidmatan kesihatan merupakan antara tanggungjawab yang dipikul oleh pihak British apabila Sarawak diserahkan kepada Tanah Jajahan Mahkota di London.
Keadaan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan Sarawak selepas pendudukan Jepun menjadi cabaran besar bagi mereka kerana kebanyakan kemudahan ini telah mengalami kerosakan, ditinggalkan dan tidak mempunyai kelengkapan sempurna.
Atas sebab itu perkhidmatan yang diberikan oleh kemudahan kesihatan ini agak terhad dan bersifat terpilih.
Kerajaan British cuba melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin tetapi cabaran besar mereka adalah ketiadaan kemudahan pengangkutan sempurna dan keluasan Sarawak memerlukan satu perbelanjaan besar untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Sarawak keseluruhannya.
Rumah sakit
Sepanjang pemerintahan British di Sarawak, kemudahan hospital tidak banyak berubah daripada zaman Brooke.
Pada awalnya kesemua kemudahan hospital berada di tiga bandar utama Sarawak iaitu Kuching, Sibu dan Miri.
Hospital Umum Kuching merupakan hospital terbesar di Sarawak.
Hospital ini mempunyai sekitar 467 katil, juga merawat pesakit mental.
Hospital ini memiliki perkhidmatan X-ray.
Pesakit luar akan menerima perkhidmatan Dispensari Berpusat yang kemudian ditukar menjadi pusat kesihatan untuk memberi banyak lagi kemudahan kepada penduduk di bandar tersebut.
Kuching menerima limpahan kemudahan kesihatan yang banyak daripada pihak kerajaan British apabila kediaman jururawat dibina untuk menambah bangunan sedia ada untuk hospital di Kuching.
Seperti dinyatakan terdahulu, hospital mental juga menjadi keutamaan untuk dibina di Kuching.
Satu lagi kemudahan yang didirikan di Kuching pada 1957 adalah klinik kesihatan untuk bersalin dan kanak-kanak di Jalan Sekama.
Pemodenan

Di Sibu hospital Lau King Hau yang didirikan semasa zaman Brooke telah menjadi hospital utama untuk penduduk di Bahagian Ketiga.
Hospital ini telah dibesarkan dan dimodenkan dengan menambah katil pesakit, dan mewujudkan dewan pembedahan.
Wad bersalin, wad kanak-kanak dan batuk kering juga dibina untuk hospital ini.
Bagi Miri pula perkhidmatan hospitalnya disumbang oleh syarikat minyak iaitu Sarawak Shell Oilfield Limited (SSOL).
Hospital ini juga telah dibina sebelum pendudukan Jepun di Sarawak.
Pada asalnya hospital ini adalah untuk pekerja minyak syarikat tersebut.
Tetapi ia juga dibuka untuk orang awam di Miri.
Pihak kerajaan British tidak bergitu sukar membangunkan kemudahan di hospital ini kerana SSOL membantu dari segi kewangan untuk membangunkan hospital ini.
Kerjasama antara kerajaan dengan SSOL pada 1950 membolehkan sebuah hospital dengan 42 katil didirikan khas kepada pesakit batuk kering.
Pihak kerajaan hanya mengambil alih kedua-dua hospital ini pada 1960.
Perubahan
Walaupun British berusaha sedaya upaya untuk memajukan perkhidmatan kesihatan di Sarawak, keluasan negeri ini yang besar menyebabkan usaha tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Namun begitu, usaha berterusan tetap dilakukan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada penduduk Sarawak.
Strategi British ini dapat dilihat melalui pembangunan kemudahan kesihatan di pusat pentadbiran setiap bahagian di Sarawak.
Hal ini dapat dilihat dalam perkembangan perkhidmatan kesihatan di Bahagian Kelima.
Di bahagian ini, dispensari di Limbang dijadikan sebagai pusat rujukan.
Pada peringkat ini, dispensari tersebut akan dilawati setiap bulan oleh Pegawai Perubatan dari Brunei bagi memantau perkembangannya.
Sebagai usaha untuk memajukan dispensari tersebut, langkah telah diambil untuk menaik taraf dispensari 16 katil itu menjadi sebuah hospital desa.
Penubuhan hospital desa di Limbang membawa sedikit perubahan kepada kemudahannya, khususnya pada 1961 apabila kemudahan seperti bilikX-Ray dan bilik pembedahan mula disediakan.
Kemudahan seterusnya
Sejajar dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan ini maka dispensari di Simanggang telah ditukar menjadi hospital penuh.
Perubahan ini berlaku pada 1958 dengan penambahan lebih 100 katil, dan menambah kemudahan terkini di hospital tersebut.
Hospital ini menjadi pusat kesihatan utama bagai penduduk di sekitar Bahagian Kedua.
Di Sarikei juga beruntung kerana pihak kerajaan British turut memberi fokus terhadap kemajuan perkhidmatan kesihatan di bandar tersebut.
Sebuah hospital telah didirikan mengantikan dispensari yang telah lama memberi khidmat di bandar tersebut.
Hospital ini siap dibina pada awal 1962.
Inovasi
Walaupun British mempunyai keazaman kuat dalam menukar beberapa dispensari kepada hospital tetapi mereka tidak mampu berbuat demikian secara menyeluruh.
Peranan dispensari masih lagi penting di beberapa kawasan yang sukar dihubungi.
Menghadapi cabaran ini, kerajaan British cuba mengurangkan masalah untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk tempatan di luar bandar dan pedalaman.
Dispensari kecil yang wujud sejak zaman Brooke telah ditambah kepada 30, manakala dresernya dilatih di Hospital Umum Kuching.
Beberapa dispensari baharu juga telah ditubuhkan.
Pada 1959 telah didirikan sebuah dispensari di Nonok dan Spaoh. Pada tahun sama dispensari di Mukah telah dibaiki.
Pada masa sama dispensari bergerak sejak zaman Brooke telah diteruskan.
Skim ini mewujdukan beberapa dispensari terapung untuk memberi khidmat kepada pendudukdi kawasan sungai yang senang dilalui.
Pada peringkat awal, sebanyak 16 perahu disediakan untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Sarawak di beberapa batang sungai.
Perkhidmatan ini diteruskan selepas perang pada 1948, dan pada mulanya meliputi kawasan Sungai Sarawak dan Sungai Rejang.
Kejayaan operasi di kedua-dua sungai ini diperluaskan ke kawasan-kawasna lain.
Perkhidmatan dispensari terapung ini mempunyai jadual perkhidmatannya yang memberi khidmat pesakit luar dan rawatan untuk kawasan yang mereka lalui.
Mubaligh
Walaupun matlamat dan harapan British cuba memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Sarawak tetapi kekangan mereka masih ada dalam aspek kewangan dan modal insan.
Atas sebab itu amalan lama semasa zaman Brooke diteruskan dengan memberi galakkan kepada pihak mubaligh Kristian mengerakkan usaha membangun perkhidmatan kesihatan bersama-sama kerajaan.
Badan-badan mubaligh Kristian ini mempunyai pengalaman luas dalam aspek ini, telah memberi sokongan kepada dasar British.
Badan mubaligh Kristian ini diberi tugas lebih mencabar dalam membangunkan perkhidmatan kerajaan khasnya di luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Kerajaan British hanya memberi subsidi kepada badan-badan mubaligh ini menjalankan tugas mereka di kawasan yang dikhaskan kepada mereka.
Di Long San, Sungai Baram pada 1957 pihak mubaligh telah mengerakkan usaha untuk membina rumah untuk ibu-ibu bersalin.
Mubaligh Methodist pula membina hospital 40 bilik di Kapit pada penghujung 1950-an.
Secara umumnya tidak dapat dinafikan bahawa pihak British cuba sedaya upaya untuk membangunkan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
Usaha ini nampak berterusan tetapi agak terhad bagi kawasan-kawasan terpencil.
Masalah jalan pengangkutan dan kewangan menjadi sebab yang membatasi usaha-usaha British dalam pembangunan sektor kesihatan ini.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).