
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki berusia 31 tahun, yang juga seorang pengawal keselamatan dengan rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan samun, telah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan berkumpulan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Superintenden Damateius Lautin, berkata suspek ditahan pada 10.20 malam berhampiran Taman Perumahan Desa Damai, Jalan Dato Mohd Musa, selepas ditemui bersembunyi di dalam semak.
“Tiga lagi suspek masih bebas.
“Mereka dikenal pasti sebagai ‘Baby’ dari Tabuan Jaya, ‘Afin’ dari Kota Samarahan, serta seorang lelaki yang belum dikenal pasti dipercayai rakan kepada Baby,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Damateius, ketika ditahan, suspek bertindak agresif dan cuba melawan, menyebabkan polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum.
“Suspek mengalami kecederaan di kedua-dua kening dan siku akibat pergelutan tersebut,” katanya.
Jelasnya, kejadian rompakan berlaku sekitar 8.20 malam ketika mangsa, seorang lelaki berusia 45 tahun dari Siniawan Jugan, sedang menutup pintu ‘roller shutter’ kedainya.
“Empat lelaki yang berpura-pura menjadi pelanggan telah menghampirinya.
“Apabila diberitahu kedai telah ditutup, salah seorang daripada mereka mengacukan pisau pemotong daging ke arah mangsa.
“Mangsa cuba melawan namun diserang dua lagi suspek, dengan salah seorang menetak kepalanya menggunakan senjata yang sama,” ujarnya.
Suspek keempat pula, memasuki kedai dan mendekati isteri mangsa sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM400 yang disimpan dalam tin di belakang kaunter.
Wanita itu, bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang cedera, katanya, menerima rawatan sebagai pesakit luar di IJN Kota Samarahan.
Suspek kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima enam jahitan di kepala dan tiga jahitan di lengan kiri.
Seorang saksi awam, iaitu pemandu kenderaan yang melalui lokasi bersama suami dan dua anaknya, turut tampil membuat laporan polis.
Damateius, berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis telah merakam sebahagian kejadian, khususnya melibatkan interaksi antara salah seorang suspek dan isteri mangsa di kaunter.
Bagaimanapun, tiada rakaman CCTV di luar kedai.
Dalam operasi tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai berkaitan dengan kejadian termasuk sebuah motosikal curi jenis Yamaha, telefon bimbit, dua sarung tangan hitam yang ditemui di tempat letak kereta kedai, satu lagi sarung tangan tambahan, topeng muka ungu berjenama “NEUTROYS”, pemutar skru berwarna oren, kasut Adidas hitam, sepasang cermin mata, dan sebutir kasut jenama ‘Fesyen’.
Hasil ujian awal, ujarnya, mendapati suspek positif dadah, dan kini ditahan di Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.
Menurut pihak polis, perintah reman akan dipohon.
Pihak polis, berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.
Oleh Connie Chieng