MATU: Pencarian hari kedua seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas apabila dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai dekat Kampung Hilir, Kuala Matu, diteruskan 7.00 pagi semalam.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi hari kedua melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan Persatuan Bomba Sukarela Matu (PBS).
“Operasi hari kedua ini menggunakan kaedah ‘surface water rescue” dengan pencarian adalah satu kilometer ke hulu dari tempat mangsa dikatakan jatuh dan dua kilometer ke hilir Kuala Matu menuju ke laut,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Terdahulu pada Isnin, mangsa Mohamad Amirul Dedy Susanto, 11 dikatakan tergelincir dan jatuh semasa memancing di atas kapal tunda yang diletakkan di pangkalan sungai pada 4.00 petang.
“Mangsa turun memancing bersama rakannya yang hanya dikenali sebagai Ainul, 9, di kapal berkenaan, Ainul yang menyaksikan kejadian menangis dan telah memaklumkan kepada orang kampung tentang kejadian tersebut.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.53 petang Isnin segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” jelasnya.
Tambahnya, penduduk kampung turut membantu agensi yang terlibat dalam operasi mencari sehingga jam 12 tengah malam kelmarin.