
SERIAN: Ibu bapa perlu memberi sokongan padu kepada pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan terlibat secara aktif dalam sebarang program atau aktiviti.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata ia penting untuk memastikan persekitaran pengajaran dan pembelajaran kondusif bagi melahirkan pelajar cemerlang.
“Pendidikan adalah kunci kejayaan masa depan dan ia adalah amat penting kerana tanpa pendidikan kita tidak akan ke mana-mana. Oleh itu, kerjasama dan sokongan padu daripada komuniti setempat dan ibu bapa amat penting dalam usaha pihak sekolah melahirkan pelajar cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Jalinan Kasih bersama Pemimpin Sekolah Kebangsaan (SK) Jaong anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bertempat di Dewan Masyarakat Serian, semalam.
Doris berkata pendidikan merupakan perkara penting bagi mengubah dunia termasuk passport bagi menghadapi masa hadapan.
Menurutnya lagi, dunia sudah jauh berubah dan mencabar yang mana golongan muda pada hari ini harus melengkapkan diri dengan ilmu pendidikan untuk berhadapan dengan arus pembangunan pada masa akan datang.
“Justeru, para ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan anak mereka mendapat akses pendidikan terbaik sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja global yang mencabar,” katanya.
Dalam pada itu, Doris turut menekankan kepentingan perpaduan dan kerjasama antara semua pihak termasuk para pemimpin masyarakat.
“Kita semua adalah pemimpin dalam kapasiti masing-masing, sama ada sebagai ibu bapa, guru, ketua masyarakat, ketua kaum mahupun wakil rakyat.
“Oleh itu, kita mesti mengutamakan semangat bekerjasama, saling menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa atau budaya,” ujarnya.
Turut hadir ialah Guru Besar SK Jaong, Mungo Entalai, Yang Dipertua PIBG SK Jaong, Larry Majid dan Penghulu Judi Enau.
Oleh Adi Safarman