
KOTA SAMARAHAN: Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Unit Kampung Entingan telah mengambil inisiatif melestarikan seni budaya etnik melalui aktiviti membuat kraf tangan tradisional ‘tali ujan’.
Ketua Unit SIDS Kampung Entingan, Luga Dubit berkata, projek ini merupakan satu usaha bagi memelihara dan meneruskan legasi kraf tangan warisan etnik yang semakin dilupakan.
“Motif kami melakukan projek ini adalah untuk melatih diri sendiri, dan apabila sudah mahir, kami boleh menurunkan ilmu ini kepada anak cucu kami,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha SIDS Unit Entingan, Manti Beng menyifatkan projek ini bukan sahaja bermanfaat dari segi pemeliharaan budaya, malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama penduduk kampung.
“Ia juga berpotensi menjana ekonomi jika ada pihak yang berminat untuk membuat tempahan. Ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga,” tambahnya.
Penduduk kampung turut memberikan maklum balas positif terhadap inisiatif ini, malah ada yang telah menunjukkan minat untuk menempah hasil kraf tangan tersebut.
Selain memelihara warisan seni, aktiviti ini turut menjadi medium untuk melepaskan tekanan serta ruang untuk berinteraksi dan bergaul dengan ahli-ahli lain.
Seni dan budaya kraf tangan seperti ini wajar terus dilestarikan agar tidak dilupakan, khususnya oleh generasi muda yang semakin terdedah dengan arus pemodenan.
Oleh Norman B