
BINTULU: Sambutan Gawai bukan sekadar perayaan kebudayaan, malah menjadi platform penting dalam memperkasa warisan dan adat resam masyarakat Dayak khususnya komuniti Iban di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penganjuran acara seperti majlis sambutan Hari Gawai memberi ruang kepada generasi muda dan masyarakat luar untuk mengenali serta menghargai budaya Dayak yang diwarisi turun-temurun.
“Ini (majlis Gawai) adalah peluang untuk kita menampilkan budaya Dayak. Tadi kita menyaksikan pelajar mempersembahkan tarian ngajat dan seorang guru melakukan ‘nimang ai’ (ai ansah).
“Inilah budaya dan tradisi kita yang perlu dipelihara serta diperkenalkan kepada masyarakat luar dan generasi muda agar legasi ini tidak terputus,” katanya.
Tambah beliau, sambutan tahunan seumpama itu juga berperanan dalam merangsang ekonomi tempatan dan memperkukuh identiti budaya masyarakat Dayak dalam konteks global.
“Ini juga salah satu cara untuk menarik kehadiran pengunjung ke daerah kita terutamanya di Bintulu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pra Gawai 2025 anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus, malam tadi.
Oleh Carolyne Utih