
Aksi Pandelela ketika Ujian Pemilihan Terjun Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong menegaskan pentingnya untuk memperkukuh aspek fizikal dan mental bagi mencapai tahap prestasi yang lebih konsisten menjelang Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura, Julai depan.
Penerjun berpengalaman berusia 32 tahun itu mengakui keperluan untuk mengekalkan prestasi pada tahap optimum, terutama ketika tempoh persediaan menuju kejohanan berprestij berkenaan.
“Beberapa perkara yang perlu diperbaiki adalah tahap fizikal dan mental saya. Saya perlu lebih konsisten,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat pada saingan Ujian Pemilihan Terjun Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.
Pencapaian terbaik Pandelela dalam kempen Kejohanan Akuatik Dunia adalah memenangi pingat perak 10m platform seirama wanita ketika bergandingan dengan bekas penerjun Datuk Leong Mun Yee pada edisi 2019 di Gwangju, Korea Selatan.
Pada aksi hari ini, Pandelela menepati ramalan merangkul pingat emas acara 10 meter (m) platform wanita selepas mengumpul 270.20 mata, menewaskan atlet pelapis Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj di tempat kedua (249.65 mata) dan atlet Peogram Podium, Lee Yiat Qing ketiga dengan 242.85 mata.
Bagaimanapun, ia merupakan kali pertama Pandelela gagal melepasi kelayakan minimum (MQS) yang ditetapkan Persekutuan Renang Malaysia (PRM) bagi penerjun senior, iaitu 290 mata, selepas berjaya melakukannya dua kali sebelum ini.
“Saya sudah lepas dua kali sebelum ini dan layak ke Kejohanan Dunia. Namun, saya juga ingin terus bertanding hari ini untuk mengelakkan rasa bosan dalam latihan,”katanya.
Pemenang pingat perak acara 10m platform seirama Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga memuji peningkatan prestasi atlet junior yang semakin kompetitif, dengan dia menjangkakan mereka mampu menyaingi dirinya dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi.
Pandelela turut bersyukur dapat beraksi tanpa sebarang kecederaan dan kini bersedia untuk teruskan latihan rapi menjelang kejohanan di Singapura dari 11 Julai hingga 3 Ogos depan.
Dalam perkembangan lain, kejutan tercipta dalam saingan 10m platform lelaki apabila atlet pelapis, Elvis Priestly Clement, meraih emas dengan mengumpul 375.50 mata, mengatasi Muhammad Anilrian Normatrud (350.50 mata) dan Bertrand Rhodict Lises (350.40 mata).
Kelayakan minimum (MQS) merupakan penanda aras utama bagi menentukan atlet yang layak mewakili negara di kejohanan antarabangsa dengan setiap atlet perlu melepasi skor kelayakan yang telah ditetapkan. – BERNAMA